KUALA LUMPUR: Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada (ACAFTA) dijangka menjadi pemangkin dalam memperkukuh kerjasama antara kedua-dua pihak khususnya melibatkan sektor baharu seperti perdagangan digital, kecerdasan buatan, teknologi hijau dan tenaga bersih.
Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, ACAFTA bukan sahaja mampu merangsang pertumbuhan ekonomi mampan dan penyelarasan peraturan, malah berpotensi meningkatkan daya tahan ekonomi yang inklusif di rantau ini.
Katanya, gabungan ACAFTA dengan Strategi Indo-Pasifik Kanada dilihat sebagai penggerak utama bagi memperkukuh hubungan strategik ASEAN-Kanada selaras dengan keutamaan ASEAN.
“Para menteri mengalu-alukan momentum positif dalam rundingan ACAFTA yang diiktiraf berpotensi memacu kerjasama di pelbagai sektor strategik.
“Kerjasama ini juga mampu membuka peluang baharu yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan dan kemakmuran bersama dalam jangka masa panjang,” katanya.
Menurut kenyataan itu, ASEAN turut menyatakan minat untuk memperdalam kerjasama dengan Kanada melalui Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) sekali gus memanfaatkan kekuatan teknikal Kanada dalam peralihan tenaga dan teknologi kuantum.
Dalam masa yang sama, ASEAN dan Kanada juga bersetuju untuk melihat kepada penerimaan Pelan Tindakan ASEAN-Kanada (2026–2030) sebagai platform penting bagi merangka kerjasama yang lebih mendalam dan bercita-cita tinggi.
“Mesyuarat ini membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk menetapkan hala tuju baharu demi memastikan agenda masa depan yang lebih inklusif dan mampan dapat dicapai.
“ASEAN amat menghargai penglibatan konstruktif Kanada selama ini, khususnya dalam mendukung agenda kelestarian, inovasi dan pengurusan bencana,” katanya. – UTUSAN