Dua peguam tawar khidmat percuma kepada Amir Raja Lawak - Utusan Malaysia

Dua peguam tawar khidmat percuma kepada Amir Raja Lawak

TANGKAP layar laporan berita Amir Raja Lawak mengenai rayuan kepada stesen TV supaya melunaskan tunggakan bayarannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dua peguam dari negeri ini Nik Saiful Adli Burhan dan Che Muhammad Redzuan Jihad atau Adik Wan menawarkan khidmat guaman percuma kepada pelawak tanah air Amir Raja Lawak yang mendakwa masih belum menerima bayaran berjumlah RM18,000 daripada sebuah stesen televisyen.

Memuatkan artikel berkaitan…

Nik Saiful Adli dari Tetuan Irmohizam Rosley & Nik Adli cawangan Melor dan Tumpat berkata, tawaran itu dibuat atas dasar ihsan dan tanggungjawab sosial.

“Kami terpanggil selepas membaca laporan media bahawa Amir terpaksa menjual kenderaan miliknya bagi menampung kehidupan akibat bayaran tertunggak.

“Sebagai anak Kelantan yang telah banyak mempromosikan negeri ini menerusi karya dan lawaknya, kami merasakan beliau tidak wajar dibiarkan berdepan isu ini sendirian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nik Saiful Adli memberitahu, khidmat itu merangkumi penyediaan surat tuntutan, rundingan perundangan, nasihat kontrak serta saman sivil di mahkamah jika perlu.

“Walaupun jumlah yang dituntut mungkin tidak besar dalam konteks kos guaman biasa, nilai keadilan dan hak seseorang individu tidak sepatutnya diukur dengan wang.

“Undang-undang adalah hak semua termasuk mereka yang tidak mampu,” ujarnya.

Nik Saiful berkata, pihaknya sudah menghubungi Amir Raja Lawak melalui Facebook mengenai hasrat tersebut.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, pelawak, Amir Raja Lawak meluahkan rasa kecewa apabila sebuah stesen televisyen masih gagal melunaskan tunggakan bayaran berjumlah RM18,000 kepadanya sejak tiga tahun lalu.

Menurut Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, jumlah keseluruhan bayaran yang sepatutnya diterima daripada stesen berkenaan adalah sebanyak RM23,000, namun dia hanya menerima sebahagian kecil iaitu RM5,000 pada awal tahun lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN