Abdul Hadi pertahan jawatan Presiden Pas

Abdul Hadi pertahan jawatan Presiden Pas

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Tan Sri Abdul Hadi Awang menamatkan spekulasi pengundurannya daripada jawatan Presiden Pas apabila menyatakan komitmen untuk menjalankan tanggungjawab yang disandangnya sejak 2003.

Secara berkias, Ahli Parlimen Marang berusia 78 tahun itu berkata, beliau seboleh-boleh­nya mahu mati ketika menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya.

Beliau yang dikaitkan de­ngan masalah kesihatan juga ber­syukur kerana tahap kesihatannya lebih baik selepas menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Jun lalu.

“Saya kalau boleh nak mati dalam bertugas,” katanya ringkas ketika ditanya ura-ura pengundurannya sebagai Presiden Pas ekoran masalah kesihatan selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini, semalam.

Ia adalah kenyataan pertama beliau selepas lebih sebulan timbul ura-ura mahu berundur daripada jawatan yang di­sandangnya lebih 22 tahun pada Muktamar Pas Kali Ke-71 di Kedah, September ini.

Abdul Hadi menang tanpa bertanding pada 2017, 2019, 2021 dan 2023 dalam pemilihan yang dilakukan setiap dua tahun.

Beliau pernah mene­rima rawatan susulan di IJN termasuk dilaporkan menjalani rawatan pada 5 Januari 2024.

Terbaharu pada 17 Jun lalu, beliau berjaya menjalani prosedur rawatannya di IJN dan kesihatan Abdul Hadi dikatakan lebih baik selepas itu.

Sementara itu, ditanya me­ngenai kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasio­nal (PN), Abdul Hadi berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan parti-parti lain dalam gabungan tersebut.

Katanya, kedudukan jawatan Pengerusi PN bukan ditentukan oleh Pas sahaja tetapi hak semua parti komponen.

“Itu (jawatan Pengerusi PN) bukan hak Pas sahaja, hak parti-parti lain dalam komponen. Pas bincang dengan parti-parti lain,” katanya.

Terdahulu, timbul desas-desus mengatakan terdapat desakan untuk PN mempunyai Pengerusi baharu, namun dakwaan itu dinafikan Muhyiddin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN