MARANG: Lebih 800 peserta dari pelbagai latar belakang menyertai Program Madani Rakyat Kebombaan Komuniti (PMRKK) yang berlangsung di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di sini hari ini.
Program anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kerjasama Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) itu merupakan antara program satelit Malaysia Madani yang digerakkan di setiap negeri.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Sri Nor Hisham Mohammad berkata, masyarakat sering menganggap kerja menyelamat hanya tanggungjawab bomba sedangkan aspek pencegahan, kesedaran dan tindakan awal perlu bermula dalam komuniti.
“Kita mahu rakyat faham, menjaga keselamatan bukan kerja bomba saja. Semua ada peranan bermula dari rumah, tempat kerja hingga ke kawasan kejiranan,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutup PMRKK di sini, hari ini
Sementara itu, Ketua Pengarah JKOM, Datuk Ismail Yusop berkata, usaha membudayakan rasa tanggungjawab bersama seperti ini perlu diperluas ke seluruh negara khususnya dalam kalangan golongan muda.
Ujarnya, peserta yang ditemui turut berkongsi mereka kini lebih yakin dan peka terhadap tindakan awal sekiranya berlaku kebakaran atau kecemasan, malah menganggap pengalaman ini sesuatu yang patut diteruskan secara berkala. – UTUSAN