6 beranak berteduh di rumah sarang burung

6 beranak berteduh di rumah sarang burung

MOHD. Nazarudin Muhamat (tiga dari kiri) dan Nur Nadiatul Asyikin Muhammad Nasir (dua dari kanan) bersama enam anak mereka terpaksa berteduh di sebuah rumah sarang burung layang-layang di Kampung Batin, Kuala Terengganu, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Demi kelangsungan hidup, sepasang suami isteri bersama enam anak mereka terpaksa berteduh di sebuah rumah sarang burung layang-layang di Kampung Batin, di sini sejak lebih setahun lalu.

Mohd. Nazarudin Muhamat, 50, dan isterinya, Nur Nadiatul Asyikin Muhammad Nasir, 36, tidak mempunyai pilihan lain kerana kesempitan kehidupan.

Nur Nadiatul Asyikin berkata, rumah kini merupakan milik ibunya yang memberi keizinan untuk menumpang sementara.

Namun, keadaan bangunan yang asalnya dibina untuk penternakan burung layang-layang itu daif, malah tidak sesuai untuk diduduki manusia.

“Rumah ini kami ubah suai sedikit demi sedikit ikut kemampuan dan tiada tandas, kalau nak buang air besar kami terpaksa ke stesen minyak berhampiran. Di sini hanya boleh mandi biasa sahaja sebab cuma ada bilik mandi kecil,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, rumah tersebut juga tidak mempunyai pintu sempurna dan sering dimasuki haiwan liar seperti ular serta babi.

Dia berkata, suaminya yang bekerja sebagai mekanik memperoleh pendapatan tidak tetap manakala dia pula berniaga kecil-kecilan menjual aiskrim bagi menampung keperluan harian.

“Ada bulan kami dapat lebih RM1,000 ada masa cuma RM500. Kalau ada lebih, saya simpan untuk bulan depan tetapi nak menyewa rumah baharu memang tak mampu, sebab itu kami berteduh di sini,” ujarnya yang kini sedang hamil anak ketujuh dan dijangka bersalin Disember ini.

Difahamkan, pasangan tersebut baru sahaja memohon permohonan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam).

Kesusahan mereka mendapat perhatian Pengarah Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Terengganu, Md. Razi Md. Lazim yang  turun padang melihat sendiri  keluarga berkenaan.

“Kami cuba baik pulih rumah supaya lebih selesa dan lengkap dengan dapur dan tandas. Peruntukan sudah ada, cuma tunggu pihak kontraktor dilantik untuk laksanakan kerja-kerja baik pulih dalam masa terdekat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×