50 pelabur ditipu RM15 juta - Utusan Malaysia

50 pelabur ditipu RM15 juta

Muhammad Hisyam Md. Yunus
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 50 pelabur tampil menuntut keadilan selepas mengalami kerugian hampir RM15 juta dalam skim pelaburan membabitkan syarikat Alpha Capital (M) Berhad pada 2023.

Petisyen Penggulungan Syarikat (Winding Up) terhadap syarikat itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam menerusi firma guaman Tetuan Hisyam Yunus & Co.

Menurut Peguamcara Pempetisyen, Muhammad Hisyam Md. Yunus, tindakan tersebut dibuat sebagai langkah undang-undang untuk memulihkan dana pelaburan dan memastikan keadilan diberikan kepada semua pelabur.

Tindakan itu juga diambil berikutan kegagalan pihak syarikat memulangkan wang pelaburan seperti dijanjikan selain pelanggaran perintah mahkamah dikeluarkan sebelum ini.

“Alpha Capital bukan sahaja gagal menunaikan janji pulangan pelaburan, malah turut melanggar Injunksi Mareva diperintahkan Mahkamah pada September 2024.

“Kami percaya penggulungan syarikat ini adalah langkah paling wajar dan perlu bagi membela nasib para pelabur serta membolehkan wang mereka dapat dikembalikan melalui proses likuidasi dan semakan transaksi termasuk pengurusan akaun syarikat oleh pengarah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Dalam pada itu, Muhammad Hisyam berkata, perintah ‘winding up’ itu bukan hanya soal penutupan operasi tetapi satu jalan ke hadapan untuk meneliti semula semua transaksi, audit, dan aset syarikat.

“Ini membolehkan pelabur melihat ke mana wang mereka disalurkan dan membolehkan tindakan undang-undang lanjut diambil jika terdapat unsur penipuan atau penyelewengan,” katanya.

Setakat ini, saman sivil yang difailkan mewakili 64 pelabur membabitkan jumlah tuntutan mencecah RM19.8 juta.

Pelabur mendakwa dijanjikan pulangan sehingga lima peratus sebulan, namun bayaran terhenti selepas beberapa bulan, disusuli dengan pelbagai alasan serta kegagalan pihak syarikat memberikan alasan.

Tetuan Hisyam Yunus & Co menekankan bahawa keputusan ‘winding up’ yang dijangka pada 4 November nanti akan memberikan kelegaan kepada pelabur.

“Tindakan ini bukan semata-mata bagi mendapatkan kembali wang mereka tetapi untuk menegakkan akauntabiliti dan ketelusan dalam ekosistem pelaburan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN