KUALA LUMPUR : Sebanyak 4,368 kes penipuan pelaburan tidak wujud dengan jumlah kerugian lebih RM750 juta direkodkan sejak Januari hingga Jun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, jumlah itu meningkat berbanding tempoh sama pada tahun lalu iaitu sebanyak 2,715 kes dilaporkan dengan jumlah kerugian lebih RM350 juta.
“Kita telah mengenal pasti tiga jenis penipuan pelaburan antaranya ‘klon firm’, mangsa akan menyertai pelaburan melalui iklan pelaburan yang dipaparkan melalui laman sosial.
“Melalui kumpulan WhatsApp yang disertai, mangsa akan diajar oleh ‘trader’ tentang pasaran saham dan mendaftar di aplikasi atau website yang diberikan untuk mula melabur,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini hari ini.
Rusdi berkata, modal pelaburan akan dibayar ke akaun atas nama syarikat atau individu lain yang disyaki keldai akaun.
“Pelaburan yang dibuat akan mencatatkan keuntungan, namun ia hanya dalam bentuk paparan di skrin. Pelabur akan diberikan pelbagai alasan sekiranya ingin mengeluarkan wang keuntungan tersebut,” jelasnya.
Rusdi berkata, jenis penipuan pelaburan kedua ‘high and fast money’, di mana sindiket akan menyamar sebagai broker forex berdaftar di luar negara.
“Mangsa ditawarkan beberapa pakej dan dijanjikan keuntungan berganda dalam masa yang singkat. Mangsa akan diminta untuk membuat pelbagai jenis bayaran modal seperti pelaburan, ‘broker fee’, ‘international withdrawal fee’, cukai dan sebagainya.
“Bagaimanapun, selepas modal dibayar, keuntungan yang dijanjikan tidak diperolehi,” jelasnya
Beliau berkata, penipuan pelaburan ketiga pula pelaburan skim ponzi, mangsa akan dijemput menghadiri taklimat secara bersemuka atau mesyuarat dalam talian.
“Sindiket biasanya akan mewujudkan pejabat untuk kelihatan professional dan seterusnya meyakinkan mangsa.
“Setelah berdaftar dengan syarikat, mangsa akan mula mendepositkan modal pelaburan dengan cara memindahkan ‘stablecoin’ seperti USDT daripada ‘wallet exchanger’ milik mangsa kepada ‘deposit wallet’ platform skim pelaburan tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata, mangsa akan rasa teruja apabila melihat keuntungan yang tertera di dalam platform tadi dan kemudian mendepositkan modal dengan lebih banyak.
“Modal pelaburan daripada pelabur baru akan digunakan untuk membayar pulangan kepada pelabur sedia ada. Sehinggalah satu tahap sindiket ini tidak dapat membayar pulangan disebabkan tiada pelabur baru yang menyertai skim pelaburan tersebut,” katanya. – UTUSAN