3,397 usahawan B40, asnaf terima manfaat iTEKAD Bank Muamalat

3,397 usahawan B40, asnaf terima manfaat iTEKAD Bank Muamalat

PENYERAHAN sijil iTEKAD Sabah kepada 16 usahawan B40 dan asnaf di Tawau, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 3,397 usahawan dalam kalangan B40 dan asnaf menerima manfaat program iTEKAD Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) di seluruh negara dengan jumlah dana lebih RM35 juta telah disalurkan setakat Mei lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, kewangan sosial bukan sekadar tanggungjawab korporat malah ia adalah sebahagian daripada identiti kewangan Islam yang memacu keadilan dan kemajuan bersama.

“Melalui pelaksanaan program iTEKAD, kerjasama pintar bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), serta perluasan Jariah Fund ke Sabah, Bank Muamalat terus mendukung agenda nasional seperti Rancangan Malaysia Ke-12 dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, dengan tekad untuk menjadikan kewangan Islam sebagai pemacu kehidupan yang lebih baik.

“Bagi memastikan program ini terus memberi impak berpanjangan, Bank Muamalat turut mengatur kerjasama dengan agensi tempatan untuk memperluaskan pasaran peserta, selain merangka laluan penajaan kepada pensijilan halal bagi usahawan yang layak,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Khairul berkata, sebahagian usahawan iTEKAD juga telah menamatkan program pensijilan halal.

“Produk mereka telah menembusi pasar raya besar. Ini membuktikan kesinambungan dan keberkesanan pendekatan kewangan sosial Islam yang diterapkan. 

“Dengan pendekatan menyeluruh yang menggabungkan pembiayaan, pendidikan, perlindungan sosial dan sokongan komuniti, Bank Muamalat terus komited untuk memainkan peranan aktif dalam membina ekosistem kewangan yang inklusif dan berdaya tahan,” katanya.

Dalam pada itu, Bank Muamalat memperkukuh peranannya sebagai peneraju kewangan sosial melalui pelaksanaan tiga inisiatif utama sempena Karnival Celik Kewangan 2025 di Tawau, Sabah. 

Komitmen itu dizahirkan menerusi penyerahan sijil penyertaan kepada 16 usahawan mikro terpilih di bawah program iTEKAD Sabah dan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama AKPK.

Pelancaran kempen pendanaan awam Jariah Fund ‘Pek Ikhlas Sabahan’ bersama Yayasan Ikhlas juga digerakkan dengan sasaran kutipan RM10,000 daripada orang ramai bagi penyediaan bakul makanan kepada 100 keluarga asnaf di pedalaman Sabah.

Mengulas lanjut, Khairul berkata, seramai 16 usahawan mikro di Sabah yang terdiri daripada golongan B40 dan asnaf telah disenarai sebagai peserta sulung iTEKAD merangkumi sektor makanan dan minuman serta perkhidmatan gig.

Jelasnya, mereka akan menerima pembiayaan mikro dan geran sehingga RM10,000, latihan keusahawanan tajaan penuh serta pemantauan intensif selama tempoh enam bulan. 

“Program ini tidak hanya memberi modal dan kemahiran, malah membuka peluang pertumbuhan jangka panjang.

“Usahawan berprestasi tinggi akan disalurkan kepada skim pembiayaan PKS atau tajaan pensijilan halal, sekali gus membantu mereka menembusi pasaran yang lebih besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN