IPOH: Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) mengutip 20 tan sampah selepas penganjuran Himpunan Turun Anwar yang berlangsung di beberapa lokasi sekitar ibu negara semalam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, kerja-kerja pembersihan dilakukan sehingga pukul 3.30 pagi tadi bagi memastikan kawasan terjejas kembali bersih.
“Saya menerima laporan terkini daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp Malaysia) dan Alam Flora di mana sebanyak 20 tan atau 20,000 kilogram sampah dibuang di merata tempat selepas mereka meninggalkan lokasi.
“Oleh kerana itu, saya terpaksa mengerahkan seluruh pasukan Alam Flora dan SWCorp untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dengan segera.
“Pekerja-pekerja pembersihan terpaksa bekerja sehingga pukul 3:30 pagi kerana kawasan yang terlibat juga merupakan lokasi tumpuan pelancong,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Taman Rekreasi Madani (TRM) Canning Garden, di sini hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk tujuh TRM di Ipoh.
Mengulas lanjut Kor Ming berkata, pihaknya kesal dengan sikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab peserta perhimpunan itu yang membuang sampah merata-rata sehingga mencemarkan kebersihan ibu negara.
“Kita tidak mahu imej negara terjejas. Dalam soal kebersihan, saya tidak akan berkompromi. Saya kesal dengan sikap pengotor pembangkang yang telah mengotorkan kawasan sekitar ibu kota.
“Walaupun kawasan berkenaan telah berjaya dibersihkan, hakikatnya tanggungjawab menjaga kebersihan sepatutnya dipikul oleh penganjur. Kita mahu perhimpunan yang aman dan tertib di mana tertib itu termasuklah menjaga kebersihan awam. Ini soal prinsip yang wajib didukung bersama oleh semua pihak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi DAP turut mempersoalkan objektif penganjuran perhimpunan tersebut yang disifatkan sebagai untuk menyelamatkan kluster mahkamah dari Perikatan Nasional (PN).
“Semua orang tahu menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melarikan diri kerana diburu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) begitu juga anak Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dituduh di mahkamah berkaitan kes subsidi minyak masak selain banyak lagi kes lain.
“Perhimpunan semalam diadakan bukan untuk rakyat, bukan untuk negara tapi hanya untuk selamatkan kluster mahkamah,” katanya. – UTUSAN