Hilang RM300 kerana tidak pakai tali pinggang keledar dalam bas

Hilang RM300 kerana tidak pakai tali pinggang keledar dalam bas

STIEN Van Lutam melakukan pemeriksaan terhadap sebuah bas ekspres ketika operasi di Plaza Tol Alor Setar Utara, Alor Setar, Kedah.-UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai 18 orang penumpang bas ekspres dan persiaran yang tidak memakai tali pinggang keledar diambil tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah apabila penguat kuasa mula bertindak tegas selepas tragedi bas ekspres yang meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.

Enam belas penumpang dikompaun RM300 setiap seorang manakala dua penumpang di bawah usia 18 tahun diberikan nasihat dan advokasi tentang pemakaian tali pinggang keledar.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, pihaknya memeriksa 18 buah bas iaitu 14 bas ekspres manakala empat bas persiaran.

“Bermula semalam, JPJ Kedah melaksanakan penguatkuasaan penuh terhadap pemakaian tali pinggang keledar bagi pemandu dan semua penumpang bas ekspres dan bas persiaran. 

“Ia selaras peruntukan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar dan Sistem Kekangan Kanak-Kanak) 1978 Pindaan (2008),” katanya di Plaza Tol Alor Setar Utara, di sini. 

Stien berkata, penumpang juga boleh membuat aduan kepada pemandu bas sekiranya tali pinggang dalam keadaan tidak baik sebelum memulakan perjalanan. 

“Pengusaha bas juga perlu bertanggungjawab dalam memastikan bas yang bermula 1 Januari 2020 wajib mempunyai tali pinggang keledar manakala bas sebelum itu disaran menyediakan kemudahan itu untuk keselamatan penumpang,” katanya.

Katanya, pemeriksaan turut mendapati kebanyakan tapi pinggang keledar tidak berfungsi dengan baik dan JPJ akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi terlibat untuk melaksanakan operasi itu dari semasa ke semasa.

“Ini soal keselamatan. Saya ingatkan pemandu bas agar menyediakan kemudahan itu yang memang boleh digunakan sebab kita lihat kemudahan itu ada di tempat duduk, tetapi keadaannya tidak bagus. Ini tidak adil apabila kita mahu saman, kemudahan itu tidak ada,” katanya.

Sementara itu, katanya, pihaknya akan melakukan penyamaran bagi mengesan pemandu dan penumpang bas yang masih tidak memakai tali pinggang keledar. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN