PUTRAJAYA: Sebanyak 16 program berimpak tinggi telah diluluskan kerajaan untuk manfaat masyarakat India setakat bulan ini, melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, program-program ini memberi tumpuan kepada tiga bidang utama pembangunan masyarakat, iaitu pendidikan dan latihan; kerohanian dan kebudayaan serta kesejahteraan sosial.
Katanya, langkah ini mencerminkan tekad berterusan kerajaan dalam mengangkat peranan masyarakat India sebagai rakan pembangunan negara menerusi pendekatan yang inklusif, progresif dan berteraskan impak menyeluruh.
“Dalam masa sama, terdapat juga beberapa permohonan yang tidak dapat diluluskan antaranya melibatkan program berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bertindih serta berada di bawah bidang kuasa dan selenggaraan Majlis TVET Negara.
“Selain itu, beberapa lagi cadangan program tidak dapat diluluskan kerana bertindih dengan inisiatif sedia ada di bawah beberapa kementerian, termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP),” katanya hari ini.
Justeru, kata kenyataan itu, penyelarasan perlu dilakukan bagi mengelak pertindihan peranan dan penggunaan sumber.
Oleh itu, katanya, kerajaan akan terus memperhalusi dan menilai pelaksanaan beberapa lagi inisiatif strategik dalam masa terdekat bagi memastikan masyarakat India terus menerima manfaat pembangunan yang adil, saksama dan mampan.
“Kerajaan teguh dengan prinsip bahawa setiap lapisan rakyat, termasuk komuniti India, berhak menikmati peluang dan kemajuan negara secara menyeluruh selaras dengan semangat Malaysia Madani,” katanya. – UTUSAN