16.94 juta pelancong melawat Malaysia

16.94 juta pelancong melawat Malaysia

TIONG KING SING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 16.94 juta pelancong asing melawat Malaysia sejak awal tahun hingga Mei lalu.

Jumlah tersebut menyaksikan negara menerima jumlah pelancong hingga lebih dua juta orang berbanding pada tahun lalu yang hanya mencatat 14.07 juta pelawat asing untuk tempoh sama.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, Singapura merupakan negara mencatat ketibaan pelawat tertinggi ke negara ini sekali gus menjadi penyumbang terbesar dengan sebanyak 8.34 juta pelawat, meningkat sebanyak 26.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut beliau, Indonesia berada di kedudukan kedua dengan 1.82 juta pelawat dan diikuti oleh China (1.81 juta orang), Thailand (1.06 juta orang) dan seramai 664,811 rakyat India melawat Malaysia.

“Selain itu, ketibaan pelawat asing dari pasaran jarak jauh juga menunjukkan prestasi yang sangat baik di mana Australia dan United Kingdom masing-masing meningkat sebanyak 16.6 peratus dan 8.7 peratus, dengan jumlah ketibaan sebanyak 198,968 dan 185,197 pelawat asing,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen Malaysia, hari ini.

Tambah King Sing, peningkatan jumlah pelawat asing itu jelas mencerminkan keberkesanan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui pendekatan strategik.

“Antaranya dasar progresif seperti Pelan Liberalisasi Visa (PLV), pemberian sokongan serta insentif kepada pemain industri.

“Selain itu, pelaksanaan kempen promosi berimpak tinggi termasuk promosi digital, kerjasama strategik dengan platform dalam talian dan syarikat penerbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) yang memintanya pecahan pelancong asing ke Malaysia daripada Januari hingga Jun lalu berbanding pecahan pelancong asing untuk tempoh sama pada tahun lalu.

Mengulas lanjut, King Sing berkata, usaha bersepadu itu bukan sahaja memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini.

Jelasnya, ia turut menyediakan asas yang kukuh ke arah merealisasikan matlamat Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) secara mampan, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.

“Sehubungan itu, kementerian menyasarkan ketibaan seramai 47 juta pelawat asing pada tahun 2026, dengan memberi tumpuan khusus kepada pasaran utama yang menunjukkan potensi pertumbuhan yang tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN