150 berhimpun di Cherok Tokun, pertahan kepimpinan Anwar

150 berhimpun di Cherok Tokun, pertahan kepimpinan Anwar

SEBAHAGIAN daripada penyokong Anwar Ibrahim yang berhimpun di Cherok Tokun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang bagi menyatakan sokongan terhadap pemimpin itu, petang tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Lebih 150 peserta daripada 25 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini berhimpun secara aman berhampiran kediaman keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Cherok Tokun di sini.

Wakil NGO terbabit, Khairul Ishak berkata, himpunan yang dikenali sebagai ‘Berdiri Anwar’ atau Benteng itu dibuat sebagai tindak balas terhadap penganjuran ‘Himpunan Turun Anwar’ oleh pihak pembangkang yang turut berlangsung pada hari yang sama.

Khairul yang juga Pengerusi Sekretariat Bara Juang Negara berkata, kesemua NGO atau orang perseorangan yang hadir termasuk beberapa pemimpin politik setempat menyatakan sokongan yang penuh terhadap kepimpinan Anwar ketika ini.

“Apa tujuan sebenar mereka (pembangkang) mahu berhimpun di kawasan kediaman peribadi keluarga Datuk Seri Anwar ini? Walau apapun, (tujuan itu) kami tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku sama sekali.

“Jadi, kami hadir beramai-ramai bagi menyokong dan mempertahankan kawasan ini daripada ‘diserang’ oleh mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Sempena himpunan tersebut, kebanyakan penyokong Anwar hadir dengan memakai pakaian berwarna merah dan ada yang memakai lilitan lengan berwarna putih sambil membawa kain rentang dan gegantung bagi menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Kesepuluh itu.

Sepanjang himpunan berlangsung juga, mereka turut melaungkan ‘Hidup Anwar’ dan ‘Tolak Walaun’ sambil disambut oleh sorakan gemuruh daripada penyokong yang hadir.

Dalam pada itu, lebih 30 orang penyokong pembangkang tiba di kawasan himpunan terbabit kira-kira sejam kemudian dengan memakai baju berwarna hitam sambil membawa poster kecil bertulis ‘Turun Anwar’.

Meskipun berlaku ‘perang mulut’ antara kedua-dua pihak, keadaan terkawal dengan kehadiran puluhan anggota polis di situ termasuk mereka yang ditugaskan untuk mengawal kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

Himpunan yang bermula kira-kira pukul 4.30 petang itu akhirnya ditamatkan selepas hampir dua jam dalam keadaan aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN