“KALAU terus manjakan anak, bimbang nanti mereka membesar tanpa didikan yang sempurna.”
Siap sangka, kata-kata tegas itu seakan melekat kuat dalam hati pelakon Nad Zainal sehingga ke hari ini.
Bukan satu sindiran, tetapi ia diterima sebagai satu pencetus motivasi yang kemudiannya benar-benar membuka mata Nad sebagai seorang wanita bergelar ibu kepada dua anaknya.
Menurut Nad, kata-kata itu tidak lain tidak bukan, datangnya daripada suaminya sendiri, aktor, Ungku Ismail Aziz, sewaktu awal perkahwinan mereka dibina.
Jelas Nad, entah mengapa, bagaikan satu hentaman besar, segalanya membawa kepada satu perubahan terhadap bagaimana dia dan Ungku kemudiannya berganding bahu dalam usaha mendidik dua anak mereka.
Meneruskan bicara, pelakon berbakat besar yang cukup dikenali menerusi watak-watak dramatik seperti dalam Takdir Yang Tertulis dan Dendam Seorang Isteri itu mendedahkan, selama ini sebenarnya dia terlalu memanjakan anak pertamanya, Fahad Ibrahim, 9.
Pernah berada dalam keadaan tertekan dan terlalu sibuk dengan kerjaya, Nad tidak malu mengakui bahawa tanggungjawab sebagai ibu pada ketika itu tidak mampu digalas dengan sempurna.
Meskipun niatnya hanyalah untuk menggembirakan anak, tanpa sedar, Nad mengakui telah mengabaikan keperluan asas dalam pendidikan dan disiplin mereka.
“Anak-anak ini lain-lain perangainya. Macam anak orang lain, tak sama dengan anak saya. Anak lelaki saya itu, saya berikan segalanya, pendek kata manjakanlah.
“Jarak dia dengan adik dia pun jauh,jadi semua saya beri,” luahnya.
Katanya, sebelum mengenali Ungku, dia seringkali dibelenggu dengan perasaan berbelah bahagi lantaran tidak sanggup melihat anak sulungnya sedih atau merungut.
Setiap kali anak meragam, kata Nad, dia akan menurut sahaja kemahuan, termasuk membelikan makanan segera, membenarkan penggunaan gajet tanpa kawalan dan melayan setiap kehendak.
“Dia tak nak makan, saya pesan dan beli pizza. Anak hilang buku sekolah, tak buat kerja rumah, macam-macam perangai anak saya tak sempat nak melayan.
“Terus-terang, saya banyak tertinggal dalam mendidik anak dari aspek pendidikan dan adab serta disiplin. Suami kata, dia tak suka tengok cara anak saya bercakap dengan saya.
“Dia terus cakap macam itu. Saya masa itu tersentap, tapi lama-lama saya sedar, apa yang dia katakan itu, betul. Dia kemudiannya guna pendekatan ala kem tentera untuk mendisiplinkan anak saya,”katanya.
KETEGASAN UNGKU
Menurut Nad, ketegasan Ungku pada awalnya sukar diterima oleh dirinya namun demi masa depan anak-anak, aktres ini akur dengan cara si suami berusaha mendidik dengan baik.
“Suami saya memperkenalkan jadual harian, tanggungjawab di rumah dan had penggunaan gajet. Pada awalnya, pendekatan itu membuatkan anak menangis hampir setiap hari, namun selepas beberapa bulan, perubahan ketara mula kita nampak.
“Darjah satu dulu, dia nombor ‘banyak’ dalam kelas. Tapi bila masuk darjah dua, dia naik nombor 7. Matematik dapat A, Bahasa Melayu pun dapat A.
“Cikgu pun beri respons positif dan kata dia dah tak ganggu kawan-kawan, dah jadi lebih bertanggungjawab,”katanya.
Meskipun pada mulanya bimbang anak akan menjauhkan diri lantaran ketegasan suami, namun sebaliknya kata Nad, perubahan lain yang berlaku.
Katanya, anak malah semakin dekat dan mula menunjukkan rasa hormat serta disiplin yang tinggi.
“Saya dulu takut kalau saya tegas, anak akan menjauh. Saya takut hilang dia sebab saya dah pernah kehilangan perkahwinan.
“Tapi sebenarnya bila kita beri perhatian, kita tegas dengan kasih sayang, anak jadi lebih matang dan sayang kita lebih,”ujarnya.
UNGKU ANUGERAH TERINDAH
Dalam pada itu, Nad turut menyifatkan kehadiran Ungku sebagai anugerah besar dalam hidup dan keluarga kecilnya.
Suaminya itu bukan sahaja memberi sokongan emosi tetapi turut membantunya kembali membina asas keluarga yang lebih stabil dan tersusun.
“Dia kata, awak kena jadi mak yang bagus. Kalau awak sendiri tak ada hala tuju, anak awak nak ikut contoh apa dari awak?
“Awak stres anak pun ikut stres, awak tak jaga diri, anak ikut tak jaga diri,”ujarnya.
Nad turut berkongsi bahawa keadaannya dahulu membuatkan dirinya mudah marah dan cepat emosi.
Tekanan kerja, komitmen kewangan dan tanggungjawab sebagai ibu tunggal menyebabkan dirinya terperangkap dalam kitaran hidup yang memenatkan.
“Orang nampak saya garang, sombong, tapi sebenarnya saya tengah tahan banyak perkara. Semua benda saya kena buat sendiri. Saya bayar semua. Saya bergelut. Jadi saya jadi cepat marah.
“Saya bukan mak yang sempurna, tapi saya belajar dari kesilapan. Saya harap ibu-ibu lain pun jangan takut nak tegas. Anak-anak perlukan perhatian, bukan dimanjakan semata-mata,”katanya.
Untuk info, Nad pernah mendirikan rumah tangga dengan Faliq Amiruddin pada 2015 namun berpisah pada 2022.
Selain Fahad, mereka turut dikurniakan seorang anak perempuan, Budi Kalsom, kini berusia 5 tahun.
Nad kemudian berkahwin dengan Ungku Ismail pada Januari 2023.