10,049 calon daftar SPM ulangan bermula 15 Julai ini

10,049 calon daftar SPM ulangan bermula 15 Julai ini

Seramai 10,049 orang calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) Tahun 2025
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 10,049 orang calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) Tahun 2025 di 186 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, SPMU itu akan dilaksanakan pada 15, 16 dan 17 Julai ini melibatkan tiga mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.

Katanya, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan tersebut, seramai 1,454 petugas peperiksaan dilantik untuk Ujian Bertulis dan Ujian Mendengar Bahasa Melayu.

“Manakala seramai 1,202 petugas peperiksaan untuk Ujian Bertutur Bahasa Melayu,” katanya hari ini.

KPM mengingatkan semua calon peperiksaan SPMU Tahun 2025 untuk merujuk jadual waktu peperiksaan berkenaan.

Katanya, jadual itu mengandungi maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

“Jadual waktu peperiksaan SPMU Tahun 2025 boleh dimuat turun dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan melalui pautan lp.moe.gov.my.

“Calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan,” katanya.

KPM berkata, Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan boleh dimuat turun dari Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian melalui pautan sppat.moe.gov.my.

Pada masa sama, KPM mengingatkan calon juga mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan SPMU Tahun 2025.

KPM mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan Sejahtera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN