ALOR SETAR: Dakwaan pembangkang bahawa 1 Julai merupakan ‘hari hitam’ negara susulan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) hanya cubaan populis membakar sentimen rakyat tanpa fakta dan pertimbangan rasional.
Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar berkata, pelaksanaan SST yang dikemas kini merupakan langkah penting untuk memastikan hasil negara dikutip secara lebih telus dan adil untuk disalurkan semula kepada rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan dan subsidi bersasar.
Katanya, tanpa kutipan hasil melalui sistem cukai yang baik, negara akan terus bergantung kepada hutang.
“Adakah ini yang Pas nak cadangkan, hutang demi hutang untuk tampung perbelanjaan negara? Kadar SST Malaysia lapan peratus masih antara terendah di rantau ini berbanding VAT Indonesia (11 peratus), VAT Filipina (12 peratus), VAT Vietnam, Kemboja, Laos (10 peratus) dan GST Singapura (9 peratus).
“Pas dan pembangkang sekali lagi memperlihat kegagalan mereka memahami keperluan mentadbir sebuah negara yang kompleks. Mereka menentang tanpa cadangan yang membina.
“Ketika mereka mentadbir negeri, mereka juga mengutip hasil dan cukai. Tapi apabila Kerajaan Pusat bertindak untuk memperkukuh kewangan negara secara berhemah, mereka main sentimen untuk kelirukan rakyat,” katanya di sini, hari ini.
Mahfuz berkata, beliau percaya rakyat tidak terpengaruh dengan permainan persepsi yang dibina pembangkang sebaliknya perlu berani melakukan pembaharuan demi kelangsungan ekonomi yang adil dan berdaya tahan.
“1 Julai bukan hari hitam. Ia adalah langkah berani membina negara. Fakta penting yang perlu difahami rakyat adalah SST tidak dikenakan kepada barangan keperluan harian seperti beras, ayam, telur, sayur, ikan, ubat, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.
“SST menyasarkan perbelanjaan mewah dan bukan keperluan asas. Maka yang banyak terkesan adalah mereka yang berkemampuan tinggi, bukan rakyat kebanyakan,” katanya.
Tambah beliau, hasil SST dan penyasaran semula subsidi disalurkan terus kepada rakyat melalui pelbagai program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Bantuan Warga Emas (BWE), jualan rahmah, jualan agro madani, subsidi bahan api, bantuan awal persekolahan dan IPT, serta Klinik Madani. – UTUSAN