KUALA LUMPUR: Bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi tanpa dipanggil untuk membela diri atas dua pertuduhan mengedar dadah kanabis dan memiliki dua pucuk pistol palsu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaaan gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap Muhammed Yusof.
“Atas keterangan atas yang ada di hadapan saya, adalah tidak selamat untuk saya memanggil tertuduh membela diri,” kata hakim itu.
Pada 12 September 2024, Muhammed Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengedar dadah kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pada pukul 10.15 pagi, 6 September tahun sama.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pada 9 Oktober 2024, Muhammed Yusoff didakwa sekali lagi di Mahkamah Majistret atas satu pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada pukul 9.25 pagi, 6 September 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN