Watak penting untuk pelakon berusia, meningkat - Rushdi Ramli - Utusan Malaysia

Watak penting untuk pelakon berusia, meningkat – Rushdi Ramli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Rushdi Ramli lega apabila semakin ramai pelakon lama diberikan watak yang penting dalam drama atau filem.

Katanya, keadaan tersebut membuktikan kewujudan pelakon berusia masih dihargai dan dipandang penting di mata penerbit.

“Sebelum ini, golongan pelakon berumur ini selalunya dijadikan tempelan. Namun kebelakangan ini, semakin ramai yang diberikan watak menonjol.

“Contoh katakter saya, Zulkifli dalam drama Pabila Dia Tersenyum menerusi platform Viu agak menonjol. Begitu juga pelakon lain seperti Rosyam Nor, Faizal Hussein dan ramai lagi, ramai yang kebelakangan ini ditawarkan watak penting.

“Pada saya ini perkembangan positif, yang seimbangkan peranan pelakon baru dan lama dalam sesebuah naskhah,” katanya yang ditemui pada majlis tayangan drama Pabila Dia Tersenyum baru-baru ini.

Drama tersebut turut menampilkan Amir Ahnaf, Alya Iman, Adam Lee dan ramai lagi.

Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20 itu dalam masa sama tidak menafikan tawaran lakonan pelakon berumur semakin berkurangan kerana permintaan semasa yang mengutamakan khidmat pelakon lebih muda.

“Di Malaysia tak banyak skrip ditulis untuk pelakon berusia. Watak yang diberikan juga skopnya kecil seperti jadi bapa atau orang kampung. Keadaan ini menyebabkan pendapatan kami menyusut.

“Keadaan kita berbeza dengan industri perfileman luar seperti Bollywood yang mana pelakon berusia seperti Shah Rukh Khan masih mendapat kepercayaan menjadi hero filem,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN