PETALING JAYA: Semakin jarang dilihat tampil di kaca televisyen, penyanyi, Aliff Aziz kembali mencuri perhatian menerusi video nyanyian terbaharu yang dimuat naik di Instagram pada Selasa.
Aliff atau Mohammad Aliff Aziz, 34, menyanyikan lagu yang tular bertajuk Mangu nyanyian asal band Indonesia, Fourtwnty sambil memetik gitar.
Menerusi video yang dikongsikan, Juara Gegar Vaganza musim kelapan itu meraih hampir 100,000 tontonan selain dihujani 100 komen daripada pengikut media sosial.
Rata-rata memuji kelunakan suara Aliff selain mengakui terpukau mendengar artis asal Singapura itu menyanyikan lagu tersebut.
“Indah, kalau boleh saya mahu ‘full cover’,” tulis satu komen.
“Betul, ini dinamakan berdiri atas bakat sendiri, ujian lalu akan membuatkan kita lebih baik dari sebelum ini,” kata komen yang lain.
Dalam pada itu, peminat juga meluahkan rasa rindu untuk melihat persembahan Aliff dan berharap agar penyanyi itu akan kembali aktif seperti dahulu.
“Terima kasih nyanyian indah ini, saya rindu persembahan kamu, semoga Allah memberkati kamu,” tulis satu peminat.
“Ruginya suara ini dipinggirkan, sedap gila,” kata komen yang lain.
“Tolong kembali, tapi dengan semangat lebih kuat,” pesan satu peminat.
Terdahulu, Aliff Aziz dilihat memperlahankan kerjaya seninya selepas bercerai kali kedua dengan isteri, Bella Astillah pada Jun tahun lalu di Mahmakah Syariah Wilayah Persekutuan. -UTUSAN