SEREMBAN: Seorang warden asrama sebuah pusat pengajian al-Quran di Jempol dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan dua sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh Mohd. Khairi Fitri Baharom, 38, dijatuhi hukuman berkenaan selepas dia mengaku bersalah atas tiga daripada 15 pertuduhan melakukan amang seksual, meliwat dan persetubuhan luar tabii terhadap dua kanak-kanak lelaki.
Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu selepas meneliti fakta kes dan rayuan yang dikemukakan oleh tertuduh.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 25 Mei lalu dan tertuduh diarahkan menjalani kaunseling pemulihan serta pengawasan polis selama setahun selepas tamat menjalani hukuman pemenjaraan.
Mohd. Khairi yang tidak diwakili peguam sebak dan menangis ketika membuat pengakuan bersalah serta merayu mahkamah meringankan hukuman.
“Saya bekerja sebagai warden asrama, masih belum berkahwin tetapi saya masih ada emak yang perlu dijaga,” katanya.
Tertuduh hadir dalam keadaan bertongkat ke mahkamah selepas dipercayai terlibat dalam kemalangan.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mohd. Khairi didakwa telah melakukan amang seksual fizikal dan meliwat ke atas seorang kanak-kanak lelaki yang ketika kejadian berumur 12 tahun 4 bulan dan 13 tahun 4 bulan.
Kesalahan itu dilakukan pada 15 hingga 20 Disember 2023 dan 7 Januari 2025 di bilik warden sebuah pusat pengajian al-Quran di Jempol.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, jika sabit kesalahan bokeh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Seterusnya pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang kanak-kanak lelaki lain yang berumur 10 tahun 7 bulan.
Kesalahan itu dilakukan pada April dan Disember 2024 di lokasi sama.
Bagi pertuduhan meliwat dan persetubuhan luar tabii, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.
Dalam pada itu, Mohd. Khairi tidak mengaku bersalah atas 12 pertuduhan lain iaitu enam pertuduhan melakukan amang seksual dan enam pertuduhan meliwat serta melakukan persetubuhan luar tabii terhadap lima kanak-kanak lain termasuk mangsa sama yang berusia lapan tahun lima bulan hingga 12 tahun sembilan bulan.
Kesalahan itu dilakukan di pusat pengajian sama dan di sebuah rumah di Kampung Rembang Panas, Kuala Pilah pada bulan Mac 2024 hingga Januari 2025.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Pihak pendakwaan bagaimanapun tidak menawarkan jaminan memandangkan tertuduh telah mengaku bersalah atas tiga pertuduhan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Julai depan. – UTUSAN