KUANTAN: Seorang wanita warga asing ditahan selepas dipercayai menyerang seorang peniaga telefon bimbit menggunakan pisau jilet dalam kejadian di sebuah premis telekomunikasi di Kampung Padang, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu, mangsa, Husdi Hassan, 47, yang menjalankan perniagaan telefon bimbit di premis berkenaan sejak 10 tahun lalu, mengalami luka pada leher dan kaki selepas bergelut dengan suspek.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, sepasukan anggota polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bergegas ke lokasi dan mendapati suspek dikunci di dalam kedai oleh orang awam bagi mengelakkannya melarikan diri
Difahamkan, suspek yang berusia 39 tahun dipercayai berasal dari Myanmar dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah.
“Suspek datang ke premis terbabit untuk membeli tambah nilai prabayar sebelum meminta mangsa mengecas telefon miliknya,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, ketika mangsa berpaling untuk mengecas telefon, suspek tiba-tiba mengeluarkan pisau jilet dari beg galasnya lalu mengacu ke leher mangsa.
“Bagaimanapun, mangsa menepis serangan tersebut dan berlaku pergelutan antara kedua-duanya.Mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). Tiada barangan dilaporkan hilang dalam kejadian tersebut,” katanya.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana mendakwa tersinggung dengan kata-kata yang didengarnya daripada mangsa ketika menunggu telefon dicas.
“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya. – UTUSAN