Wanita umur panjang, tetapi simpanan persaraan rendah

Wanita umur panjang, tetapi simpanan persaraan rendah

HALEH NAZERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Wanita berusia 65 tahun ke atas di negara-negara maju menerima pendapatan persaraan 26 peratus lebih rendah berbanding golongan lelaki.

Pendedahan itu dibuat oleh Ketua Ekonomi Longevity Forum Ekonomi Dunia (WEF), Haleh Nazeri, yang menyifatkan ketidaksamarataan gender dalam sistem persaraan sebagai satu isu kritikal yang perlu diberi perhatian serius.

“Wanita hidup lebih lama, tetapi mereka mempunyai simpanan yang lebih rendah dan kurang akses kepada skim pencen. 

“Ini menyebabkan jurang pendapatan yang amat ketara dalam kalangan warga emas,” katanya pada sesi pembentangannya bertajuk ‘Ekonomi Jangka Hayat: Pengajaran dan Peluang Dalam Menjalani Hidup Lebih Panjang di Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2025 (ISWC 2025), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Haleh berkata, wanita menghadapi perkara yang disifatkan sebagai ‘ribut tiga serangkai’ dalam ekonomi penuaan iaitu hidup lebih lama, memperoleh pendapatan lebih rendah sepanjang hayat dan sering berhenti kerja untuk menjadi penjaga kepada ahli keluarga.

“Kita sering lupa bahawa ramai wanita keluar daripada tenaga kerja bukan kerana tidak mahu bekerja, tetapi kerana memikul tanggungjawab menjaga anak atau ibu bapa. 

“Apabila mereka kembali bekerja, jurang dalam resume menyebabkan mereka terpinggir dan sukar mendapatkan pekerjaan semula,” katanya.

Sehubungan itu, Haleh menggesa syarikat korporat untuk menyediakan lebih banyak kemudahan penjagaan sebagai sebahagian daripada manfaat pekerja, merangkumi anak-anak dan warga emas.

“Ramai pekerja hari ini terperangkap dalam peranan berganda iaitu bekerja dan menjaga keluarga. 

“Polisi korporat harus lebih inklusif dan realistik terhadap cabaran ini,” ujarnya.

Haleh berkata, syarikat perlu memberi peluang kedua kepada wanita yang keluar dari tenaga kerja untuk menjadi penjaga, dengan menilai semula keperluan pengalaman kerja secara lebih fleksibel.

“Ramai wanita mempunyai jurang dalam ‘resume’ mereka kerana menjadi penjaga. Tetapi itu bukan satu kelemahan kerana ia menunjukkan kekuatan, daya tahan dan empati yang tinggi. 

“Jika diberi peluang, mereka akan kembali bekerja dengan lebih semangat dan komitmen,” katanya.

Beliau berkata, isu ini bukan hanya melibatkan wanita atau warga emas, tetapi merupakan bahagian penting dalam membina ekonomi masa depan yang inklusif dan mampan.

“Kita tidak boleh melihat penuaan sebagai satu beban. Ia adalah satu pencapaian kesihatan awam. 

“Tetapi untuk memanfaatkannya, kita mesti pastikan setiap individu, termasuk wanita mempunyai peluang yang adil dan sokongan yang mencukupi untuk hidup bermakna hingga usia tua,” katanya.

Tambah beliau, ketidaksamaan dalam simpanan persaraan dan pendapatan warga emas akan memberi kesan besar kepada ekonomi dan kestabilan sosial negara jika tidak ditangani dari sekarang.

“Persoalannya kini adakah sistem kita cukup adil dan bersedia untuk realiti baharu ini? Kita perlukan dasar yang lebih responsif terhadap keperluan wanita dan penjaga, terutamanya dalam era penuaan penduduk yang pantas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN