Wanita 'jual diri' di media sosial didenda RM3,500

Wanita ‘jual diri’ di media sosial didenda RM3,500

GAMBAR HIASAN (MAHKAMAH)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang wanita didenda RM3,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menawarkan perkhidmatan pelacuran serta menjual kandungan lucah membabitkan dirinya melalui media sosial, awal tahun lalu.

Tertuduh, Nurul Afiqah Noor Azmi, 31, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan pilihan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.

Mengikut pertuduhan, Nurul Afiqah didakwa telah menawarkan perkhidmatan pelacuran melalui laman sosial X dan aplikasi Telegram bagi maksud persundalan kepada pegawai penyiasat kes  pukul 12.10 tengah malam, 22 Januari lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, Jalan Pudu di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Berdasarkan fakta kes, pada 16 Januari lalu, pegawai penyiasat melayari aplikasi X dan mengesan aktiviti menjual video serta gambar lucah milik tertuduh selain menawarkan slot tempahan untuk perkhidmatan pelacuran menerusi Telegram.

Tertuduh disyaki mempromosikan dan menjual bahan lucah bagi tujuan mengaut keuntungan.

Siasatan lanjut membawa pegawai ke kediaman tertuduh di Pangsapuri Angsana, Cheras pada 22 Januari lalu, kira-kira pukul 12.40 tengah malam.

Pemeriksaan lanjut mendapati telefon bimbit miliknya mengandungi pelbagai kandungan lucah berkaitan aktiviti tersebut.

Polis turut merampas dua unit telefon bimbit iaitu iPhone 15 Plus berwarna merah jambu dan iPhone XS putih, selain menemukan pakaian yang digunakan bagi tujuan promosi menjual bahan lucah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulhilmi Latiff memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira keuntungan yang diperoleh tertuduh hasil aktiviti tersebut.

Bagaimanapun, peguam bela, Khairunnisa Azzahrah Ghazalie yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh menanggung ibu yang uzur serta bekerja dengan gaji RM2,000 sebulan.

Selepas meneliti rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,500 terhadap tertuduh dan penjara tiga bulan sekiranya gagal bayar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN