MELAKA: Seorang ejen pelaburan direman dua hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas disyaki mengugut dan menyebarkan gambar bogel seorang guru yang juga madunya, Mac lalu.
Perintah reman sehingga esok dikeluarkan Majistret Nurul Asyikin Rosli terhadap suspek wanita berusia 53 tahun bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 507 dan 509 Kanun Keseksaan.
Menurut sumber, wanita itu ditahan polis kira-kira pukul 10.15 malam semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Wanita itu sebelum ini diklasifikasikan sebagai individu dikehendaki susulan laporan polis dibuat madunya yang juga seorang guru berusia 47 tahun. Guru terbabit terkejut apabila bapanya memaklumkan menerima sepucuk surat daripada suspek dan disertakan gambar bogel anak perempuannya bersama menantunya.
“Pengadu kemudian membuat laporan polis pada 21 Mac lalu kerana bimbang gambar aibnya tersebar,” katanya.
Peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh yang mewakili suspek memaklumkan pihaknya membantah permohonan reman selama empat hari oleh polis kerana siasatan berkenaan melibatkan kes domestik.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan penahanan suspek. – UTUSAN