GEORGE TOWN : Gara-gara terpedaya dengan tawaran pelaburan tidak wujud menerusi satu aplikasi WhatsApp baru-baru ini, seorang bekas pengurus program di sebuah syarikat penerbangan terpaksa ‘berputih mata’ apabila kerugian sebanyak RM436,000.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, selain wang simpanan peribadi, mangsa dikatakan turut mengeluarkan wang dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya untuk membuat pelaburan tersebut.
Terdahulu, Mohd. Alwi berkata, laporan polis daripada wanita berusia 62 tahun itu diterima oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada 12 Jun lalu.
Sehubungan itu katanya, satu kertas siasatan telah dibuka untuk menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Siasatan awal mendapati, modus operandi kes ini adalah melalui tawaran pelaburan saham IPO dengan pulangan tinggi yang diiklankan dalam kumpulan WhatsApp dikenali sebagai ‘Enspire Capital’.
“Mangsa telah diminta memuat turun aplikasi ‘Freeman Plus’ sebagai platform pelaburan sebelum membuat 56 transaksi pindahan wang ke empat akaun syarikat berbeza antara 12 Mei hingga 2 Jun,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Jelas Mohd. Alwi, disebabkan tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan, malah, diminta pula untuk membuat bayaran wang tambahan, mangsa akhirnya menyedari bahawa dia telah diperdaya.
“Dalam hal ini, pihak polis ingin menasihatkan orang ramai sekali lagi agar lebih berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan luar biasa dalam masa yang singkat,” kata beliau.-UTUSAN