Feri: Nostalgia perkhidmatan pengangkutan ikonik lebih 130 tahun

Feri: Nostalgia perkhidmatan pengangkutan ikonik lebih 130 tahun

FERI Pulau Pinang yang suatu ketika dahulu menjadi pengangkutan utama dari Bagan ke Tanjung atau Butterworth, kini menjadi nostalgia. – UTUSAN/DANIAL SAADS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Sebagai orang lama yang sering menggunakan perkhidmatan feri untuk berulang-alik dari Bagan ke Tanjung atau Butterworth ke sebelah pulau, Abdul Somad Mat Akhir, 63, agak skeptikal apabila anaknya sering menyebut mengenai ke­wu­judan muzium feri sejak beberapa bulan lalu.

Bagi Abdul Somad, selepas perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang dihentikan kira-kira enam tahun lepas, agak sukar untuk mengembalikan nostalgia yang telah ‘hilang’ itu bersama perkhidmatan feri yang baharu lagi moden.

Perkhidmatan feri ikonik yang jika diikutkan sejarahnya sudah melebihi usia 130 tahun itu telah memberikan pelbagai kenangan kepada berjuta penduduk negeri itu dan pengunjung luar.

Jauh di sudut hati bapa kepada tiga anak itu membayangkan bahawa muzium feri tersebut tidak ubah seperti muzium-muzium lain; hanya mempamerkan bahan bersejarah atau artifak sebagai tontonan.

Jangkaan Abdul Somad itu ba­gaimanapun meleset sama se­kali apabila dia berpeluang men­jejakkan kaki ke muzium tersebut, baru-baru ini.

“Saya dapat rasakan ‘vibes’ (getaran) lama itu ada, nostalgia itu juga masih ada. Terasa sama seperti ketika saya muda-muda dahulu,” katanya sambil ketawa.

Mengikut catatan sejarah, per­khidmatan feri Pulau Pinang dahulunya dikenali sebagai per­khidmatan lanci kecil yang berkuasa wap dan hanya membawa penumpang serta bara­ngan dalam kadar yang terhad sahaja serta diuruskan oleh Beng Brothers.

Daripada sebuah perniagaan kecil, perusahaan itu kemudi­annya berkembang kepada sya­rikat berhad pada 1897 sebelum diambil alih oleh Lembaga Pelabuhan Pulau Pinang secara rasmi pada 1924.

Setahun kemudian, perkhid­matan feri baharu yang dina­makan Feri Seberang mula beroperasi di Jeti Lebuh Gereja di George Town dan Jeti Mitchell di Butterworth yang telah dinaik taraf untuk kegunaan feri sekali gus menjadikan ia jeti terawal yang dinobatkan sebagai jeti rasmi untuk kegunaan feri.

Pada 1928 pula, Lembaga Pe­labuhan Pulau Pinang dikatakan menempah dua feri baharu iaitu Feri Tanjong dan Feri Kulim da­ripada Lembaga Pelabuhan Si­ngapura sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan feri yang beroperasi ketika itu adalah sebanyak tiga buah.

Selepas 10 tahun, Feri Bagan pula diperkenalkan bagi menggantikan Feri Seberang sebelum operasi feri hampir lumpuh sepenuhnya akibat Perang Dunia Kedua pada 1941.

Pada masa itu, Feri Kulim dikatakan telah ditenggelamkan di kawasan perairan di sekitar Pelabuhan Pulau Pinang untuk mengelakkan daripada dirampas oleh tentera Jepun manakala dua lagi feri iaitu Feri Tanjong dan Feri Bagan masing-masing tenggelam akibat tembakan serta dirampas oleh tentera Jepun sebelum dibawa ke Sumatera di Indonesia.

ABDUL Hadi Abu Osman (kiri) menunjukkan miniatur peristiwa runtuhan Pangkalan Sultan Abdul Halim di ruang sejarah feri Pulau Pinang di Muzium Feri Pulau Pinang, Pengkalan Weld, George Town, baru-baru ini.

Menurut Pengarah Muzium Feri Pulau Pinang, Abdul Hadi Abu Osman, catatan sejarah itu merupakan sebahagian daripa­da kronologi kisah bagaimana perkhidmatan feri mula berta­pak di Pulau Pinang yang di­kongsikan di Muzium Feri Pulau Pinang ketika ini.

Katanya, kronologi itu bersambung sehingga perkhidmatan feri ikonik terbabit dihentikan pada 2020 dan digantikan dengan perkhidmatan feri baharu yang lebih moden, tiga tahun kemudian sehingga kini.

“Sebenarnya ramai yang keliru dan salah faham termasuk mengenai feri ini (yang dijadikan muzium). Feri yang diberi nama Pulau Pinang ini bukanlah feri paling awal.

“Tetapi, kalau diikutkan hierar­ki dalam ‘keluarga’ feri Pulau Pinang, feri ini boleh dikatakan yang paling ‘bongsu’ sekali,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Muzium Feri Pulau Pinang juga bukan seperti muzium biasa kerana ia merupakan muzium feri penumpang terapung yang pertama seum­pamanya di dunia.

Katanya, selain mempamerkan artifak asal seperti stereng, kerusi, dan peralatan nautika dan bahan-bahan dari feri lama lain, muzium berkenaan juga memberi akses menyeluruh kepada pengunjung di keempat-empat tingkat feri termasuk bilik enjin di bahagian bawah serta dek na­vigasi kapten di bahagian atas.

Menambah kepada keunikan itu, ujar beliau, hampir 90 peratus daripada komponen yang terdapat di bilik enjin adalah komponen asal yang terdapat pada feri-feri lama tanpa sebarang pengubahsuaian!

Beliau berkata, ruang interaktif serta tayangan video yang diolah dengan kesan khas turut disediakan untuk pengunjung merasai sendiri perjalanan sejarah feri di Pulau Pinang.

“Pada masa sama, muzium feri ini juga mengungkap semula tragedi runtuhan jeti feri Sultan Abdul Halim di Butterworth yang berlaku pada 31 Julai 1988 dalam bentuk seni diorama untuk tatapan generasi muda yang mengambil masa sehingga empat bulan untuk disiapkan.

“Uniknya bagi jeti miniatur ini ialah, kita tidak meletakkannya di dalam bekas kaca se­perti di muzium-muzium lain. Seba­liknya, ia diletakkan di te­ngah-tengah kawasan pameran de­ngan dijarakkan oleh tali ke­selamatan serta dipantau oleh pegawai yang bertugas sahaja.

“Rata-rata pengunjung memuji pendekatan ini dan mereka menyifatkan seolah-olah peristiwa itu begitu dekat dengan jiwa mereka,” katanya yang me­maklumkan, projek tersebut me­ngambil masa sehingga empat bulan untuk disiapkan.

Abdul Hadi menambah, keunikan lain yang boleh dirasai adalah pengunjung akan terasa seperti dibuai oleh arus laut ketika berada di atas feri berke­naan memandangkan muzium feri itu terapung di atas air.

“Dengan adanya dekorasi yang boleh mengimbau segala seperti berada di atas feri yang tengah belayar, pengunjung pastinya akan kembali ‘bernostalgia’ dengan kenangan lalu,” katanya yang memberitahu, sejak dibuka pada 16 September tahun lepas, jumlah pengunjung yang datang ke muzium itu agak memberangsangkan terutamanya dalam kalangan rombongan pelajar sekolah.

Mengulas mengenai kekangan yang dihadapi dalam merealisasikan projek itu pula, Abdul Hadi memberitahu, cabaran awal ialah apabila feri berkenaan mengalami kerosakan selepas tenggelam akibat masalah teknikal.

Katanya, disebabkan itu, kos restorasi yang sepatutnya hanya mencecah RM7 juta meningkat kepada RM10 juta.

Jelas Abdul Hadi, cabaran lain ialah untuk menguruskan sebuah muzium dan pada masa yang sama, memastikan feri yang digunakan sebagai muzi­um itu menerima penyelenggaraan berkala seperti feri biasa.

“Apapun, kekangan dari segi kewangan mungkin menyebabkan beberapa penambahbaikan untuk muzium feri ini sedikit tergendala,”katanya yang memberitahu, pihaknya kini dalam proses untuk mendapatkan operator bagi mengoperasikan sebuah kafe santai yang terletak di atas bumbung muzium berke­naan.

Tambah Abdul Hadi, pihaknya pada masa ini begitu mengalu-alukan bekas pekerja feri atau sesiapa sahaja yang ingin berkongsi pengalaman, kepakaran dan sebagainya dengan Muzium Feri Pulau Pinang.
“Kami juga sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menjalankan projek CSR (tanggungjawab sosial korporat) dan sebagainya dalam usaha menjana pendapatan tambahan untuk muzium sekali gus memastikan muzium ini kekal bertahan untuk tempoh yang lama,” ujarnya.

Dalam pada itu, beberapa pengunjung yang ditemui menyatakan keterujaan mereka selepas melihat sendiri apa yang terdapat di dalam muzium feri terbabit.

Bagi Shahrul Razi Shahidan, 40, peluang yang digunakan oleh menjelajah keseluruhan muzium feri itu disifatkan sebagai berbaloi dengan harga yang dikenakan.

“Saya sarankan generasi muda terutamanya supaya ambil peluang untuk mengunjungi muzium ini kerana maklumat serta pengalaman yang mereka dapat di sini takkan diperoleh di tempat lain.

“Mungkin ada dalam kalangan mereka yang pernah menaiki feri, tetapi berapa kerat sahaja yang ada pengalaman untuk ‘menjelajah’ feri secara keseluruhannya seperti ini?,” soalnya yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta.

Rosmah Che Saad, 50, juga menganggap kewujudan Muzium Feri Pulau Pinang itu boleh mengembalikan nostalgia bagi mereka yang pernah menggunakan perkhidmatan tersebut serta memberi gambaran kepada generasi muda bagaimana perkhidmatan feri ikonik itu pernah berfungsi suatu ketika dahulu.

“Sejak kerajaan memutuskan untuk tidak ‘mengembalikan’ perkhidmatan feri penumpang yang lama ini, saya antara yang terkesan kerana ketika kecil, saya kerap menaiki feri.

“Tapi, saya memahami kekangan untuk meneruskan perkhidmatan ini disebabkan kos penyelenggaraan yang mahal, ketiadaan jeti yang sesuai dan sebagainya. Semoga kewujudan muzium ini dimanfaatkan dengan sebaiknya,” katanya. – UTUSAN

FAKTA MENARIK MENGENAI MUZIUM FERI PULAU PINANG

-Muzium feri penumpang terapung yang pertama seumpamanya di dunia.
-Terbahagi kepada sembilan zon untuk diteroka termasuk sebuah kafe khas yang menyajikan panorama laut di perairan Pulau Pinang.
-Menempatkan berpuluh-puluh replika feri Pulau Pinang dengan replika termahal dianggarkan mencecah RM20,000 yang ditempah khas dari Vietnam.
-Kira-kira 200 keping gambar daripada filem lama yang dipamerkan di satu sebenarnya hampir dibuang ke dalam tong sampah secara tidak sengaja sebelum ini. Namun, ia berjaya diselamatkan sebelum dipamerkan di situ.
-Pengunjung yang melangkah masuk ke dalam Muzium Feri Pulau Pinang akan disapa oleh satu watak animasi iaitu Kapten Daud manakala pada setiap hujung minggu, salah seorang kakitangan akan bertugas sebagai ‘Kapten Daud’.
-Satu ruangan khas turut disediakan dalam muzium feri tersebut untuk kanak-kanak khususnya bagi menunjukkan bakat mereka dalam menghasilkan feri daripada kertas.
-Feri pertama dikenali sebagai lanci yang berbentuk seperti sebuah sampan besar yang saiznya hampir tiga kali ganda lebih kecil berbanding saiz feri Pulau Pinang.
-Feri yang diberi nama Pulau Pinang dipilih sebagai muzium kerana nama itu lebih sinonim dengan Pulau Pinang berbanding nama lain seperti Feri Pulau Angsa, Feri Pulau Rawa, Feri Pulau Talang dan sebagainya.
-Harga tiket bagi dewasa adalah RM29 manakala kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) pula dikenakan caj sebanyak RM15.
-Pengunjung warga asing turut dikenakan caj tambahan manakala tiket VIP yang boleh dibeli pada harga RM59 membolehkan pengunjung mendapatkan akses ‘semua dalam satu’ ketika berada di muzium feri tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN