Ulasan Jumbo: Bolehkah dongeng mengubah nasib negara? - Utusan Malaysia

Ulasan Jumbo: Bolehkah dongeng mengubah nasib negara?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJADI asing dan terbuang bukanlah sesuatu yang janggal untuk Don. Dia tiada ibu bapa, malah kerana badannya yang sedikit besar berbanding rakan sebaya, Don dianggap ‘loser’. 

Dia dipanggil ‘Jumbo’ bermaksud saiz besar. Anak-anak layan Don macam penyakit, kalau dia dekat atau mahu ikut bermain, masing-masing saling tolak, tidak mahu terkena badi kekalahan. 

Don bukan tidak tahu kehadirannya jarang disenangi, tapi dia masih berusaha untuk selalu menempatkan diri kalau-kalau ada yang mahu buka hati. 

Dalam segala perkara yang melukakan, Don akan selalu pulang kepada cerita, atau dalam filem ini, mereka menyebutnya sebagai ‘dongeng’. 

Kanak-kanak umur 10 tahun itu seolah tahu, kalau dunia nyata tidak menerimanya sebagai manusia, Dongeng Pulau Gelembung (DPG) yang ditulis arwah ibunya akan selalu menjadi rumah kedua. 

Don tidak pandai banyak perkara, tapi satu-satunya yang dimiliki Jumbo ialah cinta dan minatnya kepada sebuah cerita. Dia mahu menceritakan DPG di atas pentas pertandingan, biar lebih ramai dengar.  

Hidup ditindas dan dipulaukan setiap hari menjadikan Don sebagai tukang cerita. Jumbo dan Don cuba membahaskan kepada kita betapa pentingnya sebuah naratif untuk mengubah nasib manusia, bangsa dan negaranya. 

Sebuah kebenaran hanya dianggap kebenaran sekiranya setiap orang mempercayai ‘cerita’ yang sama. Melalui Jumbo, saya mahu mengajak penonton merenung konteks yang lebih besar tentang seni bercerita. 

Bagaimana sebuah naratif yang kontroversi, berani boleh melawan pandangan alam yang sudah dianggap kebenaran. Kita memerlukan cerita untuk membuatkan ia berasa penting untuk dipersoal, difikirkan semula lebih-lebih lagi jika berkaitan penindasan. 

Tidak kisah sebenar atau sekecil apapun itu termasuklah seperti cerita Don. Syukur di era ini, dengan kecanggihan digital, orang ditindas mempunyai ruang dan kesempatan untuk bercerita. 

Mereka seolah mempunyai kedudukan dan kuasa yang sebelum ini tak pernah dimiliki. 

Melihat contoh konflik Israel dan Palestin, kita melalui proses Conscientização, dikutip dari perkataan Portugis bermakna merenung semula sesuatu, menjadi kritikal untuk menentukan siapa menindas dan ditindas. 

Maka lahirlah dialog sebenar yang lebih kritis tentang siapakah Israel, apakah faktor yang dianggap penindasan dan usaha keluar daripada ketegangan ini. 

Bukan itu sahaja, dengan cerita, kita mengembalikan semula nilai manusiawi yang makin mengering dalam sistem ekonomi yang makin menekan. 

Kita suarakan kepentingan komuniti tanpa ada sesiapa yang tertinggal dan tertindas, memetik kata ahli falsafah dan ekonomi, Amartya Sen. 

Dalam Jumbo, kita melihat bagaimana Don, Nurman, Mae, Atta menumpaskan tali barut ahli perniagaan yang mahu menjual kubur dan tanah-tanah warga desa untuk wang. 

Semua itu diselesaikan dengan keberanian dan semestinya sebuah cerita. Sebagai dewasa, kesalahan  kita adalah selalu menganggap yang muda daripada kita tidak mengetahui apa-apa. 

Sedangkan mereka lebih teliti membaca setiap perkara, lebih cepat merasa juga menghidu penipuan dalam cerita cerita. 

Di zaman perang, krisis minyak akibat penutupan Selat Hormuz, temberang pemimpin dan segalanya yang dianggap bala, kita memerlukan lebih ramai tukang cerita untuk menyelamatkan dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN