Ulasan Ballerina: Bagaimana berlawan seperti perempuan? - Utusan Malaysia

Ulasan Ballerina: Bagaimana berlawan seperti perempuan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA orang tertinggi sindiket Ruska Roma berkata kepada Eve Maccaro ‘berlawanlah seperti perempuan’, saya merasakan dia sedang memberi petunjuk bagaimana saya harus memahami dan melihat Ballerina sebagai sebuah filem.

Dia kemudian menambah, ‘pertikai setiap syarat dan peraturan’. Maka bermulalah perjalanan kewiraan, atau lebih tepat, perjalanan srikandi Eve untuk memusnahkan siapa sahaja yang terlibat dalam pembunuhan bapanya.

Walaupun adegan bapa dan anak di awal filem tidak begitu mengesankan, tapi saya setuju ia penting menunjukkan bagaimana seorang gadis manis yang cuma mahu menari ballet akhirnya membuat keputusan menjadi pembunuh.

Saya sebenarnya berharap, Ballerina dapat sedikit menjelaskan bagaimana sebuah tarian yang dianggap begitu perempuan, ayu, anggun, penuh emosi (memetik konsep ballet d’action, Jean-Georges Noverre) boleh menjadi latihan sebuah gerakan para pembunuh. Juga memberi jawapan mengapa bapa kepada Eve bersungguh mengajarnya tarian ballet bukan sekadar suka-suka, tapi sebuah cara menangani musuh.

Eve dilakonkan sudah semestinya oleh wanita jelita, Ana de Armas yang masih nampak seperti remaja belasan walau usianya sudah mencecah 37 tahun. Ana memerankan Eve, di mana rambutnya tidak beralih sedikitpun walau selepas melalui pertarungan maha dahsyat. Begitu juga solekannya. Cuma kadang-kadang sahaja lebam dan berdarah tanpa mengganggu struktur wajah.

Beberapa tahun berlalu, Eve seperti mengulang cerita dalam Genesis yang dikeluarkan dari Taman Edan kerana melanggar perintah. Dia ‘berlawan seperti perempuan’ dengan ‘melawan peraturan’ Ruska Roma demi menjatuhkan Chancellor dan seluruh sekutunya.

Eve menjadi bintang utama filem ini namun perjalanan heroiknya banyak dibantu watak penting, para lelaki yang mengagumi api di matanya – bukan mahukan ghairah atau persona tubuh seorang perempuan seperti filem Hollywood lain. Sepanjang perjalanan, dia bertemu Charon, Pine dan semestinya Frank walau kedai senjatanya separa musnah.

Bercerita tentang aksi, Ballerina nampaknya tidak menunjukkan banyak perbezaan pertarungan lelaki dan perempuan. Cuma saya merasakan, ada beberapa babak pertarungan sedikit humor dan lebih menarik ditonton berbanding filem terakhir John Wick – terutama ketika Eve sudah menjejakkan kaki ke pekan penuh salji.

Filem ini juga menjadi lebih seronok untuk ditengok ketika memasuki bahagian kedua. Seperti permainan video rentaknya laju, pergerakan kameranya juga berjaya merakam aksi dengan cermat tanpa membuatkan kita berpusing-pusing mahu muntah atau berasa lelah.

Kehadiran John Wick sudah semestinya menjadi sebab besar mengapa banyak orang mahu menonton filem ini. Penulisnya, Shey Hatten nampaknya berhati-hati dalam memposisikan tokoh itu kerana enggan dia menenggelamkan Eve dan seluruh premis filem ini. Nampaknya kehadiran John Wick seimbang, tidak bersifat menenggelamkan namun karakternya masih dilihat signifikan.

Walau bagaimanapun, kembali kepada ayat ‘berlawan seperti perempuan’, sejujurnya saya masih tidak menemui jawapan solid walaupun selepas filem ini tamat. Saya fikir, ada yang kurang dari filem ini terutama eksplorasi emosi dan perasaan seorang perempuan membuatkan agak sukar untuk saya memahami dan mengingati Eve selepas filem tamat.

Mungkinkah juga Ballerina mahu menunjukkan bahawa di dunia yang serba laju ini, tidak ada beza antara lelaki dan perempuan. Masing-masing merana, tersiksa dan tidak boleh mengharapkan sesiapa lagi melainkan kudratnya sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN