Tujuh kes dihadapi Muhyiddin pindah ke Mahkamah Tinggi

Tujuh kes dihadapi Muhyiddin pindah ke Mahkamah Tinggi

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi memohon kes hasutan yang dihadapinya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi hari ini. / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tujuh kes menggunakan kedudukan untuk suapan sebanyak RM232.5 juta dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) yang dihadapi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didengar di Mahkamah Tinggi.

Ia selepas Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan untuk memindahkan kes berkenaan yang kini berada di Mahkamah Sesyen.

“Pemohon (Muhyiddin) telah memenuhi ambang (threshold) bagi (membolehkan) kesnya dipindah dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

“Pemohon telah memenuhi keperluan di bawah Seksyen 417(1)(b) Kanun Tatacara Jenayah. Tiga persoalan undang-undang yang akan berbangkit merupakan persoalan undang-undang yang luar biasa sukarnya.

“Walaupun saya mempunyai keyakinan penuh bahawa Hakim Mahkamah Sesyen mempunyai pengetahuan dan kepakaran untuk mengendalikan dalam kes ini (namun) adalah lebih wajar bagi tiga persoalan undang-undang ditentukan oleh Mahkamah Tinggi,”kata hakim itu.

Hakim Muhammad Jamil kemudian menetapkan 14 Julai ini untuk pengurusan kes berkenaan.

Bagaimanapun sama ada kes itu akan didengar oleh hakim yang sama atau hakim berlainan akan ditentukan kelak.

Tiga persoalan yang akan berbangkit berkait dengan kebolehgunaan anggapan (presumption), maksud `suapan’ dan `derma politik’ serta maksud `pertubuhan’.

Pada prosiding hari ini, Muhyiddin diwakili peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik manakala pihak pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Wan Shaharudin memaklumkan pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat antaranya Nepturis Sdn. Bhd. serta Mamfor Sdn. Bhd. bagi sekutu parti itu.

Bagi pertuduhan kelima hingga tujuh, Muhyiddin selaku Presiden parti itu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu. 

Pada 15 Ogos 2023, Hakim Muhammad Jamil melepaskan dan membebaskan Muhyiddin daripada empat tuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan atas alasan kesemua pertuduhan itu kabur dan tidak berasas kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan yang dilakukan.

Bagaimanapun, pada 28 Februari 2024, Mahkamah Rayuan di Putrajaya mengarahkan empat kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN