BUTTERWORTH : Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah menerima dua daripada 10 set tren baharu bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang dijangka memulakan operasinya secara berperingkat mulai tahun depan.
Pengurus Besar, Perkhidmatan ETS & Antarabandar, Nurul Azha Mokmin berkata, ketika ini, kedua-dua tren tersebut bagaimanapun masih dalam peringkat pengujian serta pentauliahan.
“Secara keseluruhannya, sebanyak RM400 juta telah diperuntukkan untuk membeli tren-tren ini.
“Apabila ia mula beroperasi kelak, tren ini akan merangkumi laluan perkhidmatan termasuk dari Gemas (Negeri Sembilan) ke Johor Baharu serta laluan baharu iaitu melibatkan Johor Baharu-Butterworth-Padang Besar (Perlis),” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Ruang Menunggu Kelas Perniagaan ‘Ruby Lounge’ dan Minuman Signature ETS serta Edaran Pek Cenderahati sempena Aidiladha oleh Ketua Pegawai Teknikal KTMB, Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin di Stesen KTM Butterworth di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Nurul Azha berkata, lebih 130,000 tiket ETS termasuk tiket tambahan sempena perayaan Aidiladha telah habis dijual sehingga semalam sejak ia dibuka untuk jualan dari tempoh 29 Mei hingga 9 Jun.
“Selain itu, sebanyak 119,000 tiket tren Express Selatan yang melibatkan perjalanan daripada JB Central hingga ke Gemas, Negeri Sembilan juga telah habis dijual (menjelang Aidiladha).
“Tiket ini bagaimanapun tidak melibatkan tiket tambahan kerana ia merupakan tren berjadual iaitu melibatkan perjalanan normal (biasa) sahaja,” ujar beliau.
Nurul Azha berkata, KTMB juga meneruskan perkhidmatan tren khas iaitu Ekspres Lambaian Aidiladha bagi laluan KL Sentral-Tumpat dan Tumpat-KL Sentral seperti tahun-tahun sebelumnya dengan dua perjalanan yang melibatkan peruntukan sebanyak 872 tiket pada tahun ini.
“Setakat ini, 762 daripada 872 tiket telah terjual dan tren itu juga akan mula bergerak mulai malam ini dan pulang (ke KL Sentral) pada 8 Jun nanti,” katanya yang memberitahu, perkhidmatan tersebut menawarkan tambang sehala bermula dari RM80 sehingga RM95 dengan pelbagai pilihan koc tempat duduk.-UTUSAN