KUALA LUMPUR: Seramai 74 keluarga pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berdepan kehilangan tempat tinggal apabila diarah mengosongkan kuarters kediaman di Ipoh dan Jalan Kastam dalam tempoh singkat, susulan projek pembangunan di kedua-dua lokasi itu.
Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB (RUM), Muhammad Faizal Shahibul Kiraya berkata, situasi paling kritikal melibatkan 26 unit rumah dan sebuah surau di Jalan Kastam, yang kini tertakluk kepada arahan pengosongan dalam tempoh 14 hari selepas Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian mengeluarkan surat kepada Railway Assets Corporation (RAC) selaku pemilik tanah hari ini.
Menurut Muhammad Faizal, arahan itu sekali gus meletakkan pekerja dalam keadaan tertekan seolah-olah mendiami kawasan haram, walaupun kuarters berkenaan telah wujud sejak lebih satu abad lalu dan menjadi sebahagian daripada kemudahan asas perkhidmatan KTMB.
“Kami rasa macam duduk tanah haram. Tiba-tiba kena keluar dalam tempoh 14 hari sedangkan rumah ini wujud sejak 1905 dan disediakan khusus untuk pekerja KTMB,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB, hari ini.
Selain Jalan Kastam, Muhammad Faizal berkata, 48 unit rumah kuarters di Ipoh turut terjejas susulan perancangan pembangunan projek Ipoh Sentral yang berlarutan sejak tahun lalu, menjadikan keseluruhan 74 unit kediaman kini berada dalam ketidaktentuan, tanpa kepastian penempatan ganti.
Beliau menegaskan, sehingga kini tiada satu pun rumah gantian atau rumah transit disediakan kepada penghuni terlibat, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius terhadap kebajikan pekerja dan keluarga mereka.
Beliau turut mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang didakwa bertindak secara unilateral dan bercanggah dengan jaminan kerajaan sebelum ini, khususnya prinsip “roboh satu, ganti satu” yang pernah dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan.
“Menteri sendiri pernah memberi jaminan bahawa setiap kuarters yang dirobohkan akan diganti. Tetapi apa yang berlaku sekarang seolah-olah ada pihak bertindak di belakang pengetahuan Menteri,” katanya.
Menurut beliau, Kesatuan tidak menolak pembangunan, namun menegaskan kebajikan pekerja tidak boleh dikorbankan atas nama projek atau kepentingan pihak ketiga, apatah lagi apabila keputusan dibuat tanpa persetujuan bersama seperti termaktub dalam perjanjian bersama.
Tegas beliau, kesatuan akan terus mempertahankan hak pekerja dan tidak teragak-agak mengambil tindakan lanjut di sisi undang-undang sekiranya isu penempatan semula ini gagal diselesaikan secara adil dan berperikemanusiaan. – UTUSAN










