PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) hari ini menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM1,000 kepada 10 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di dua buah hospital di Perak.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bantuan kewangan itu akan disampaikan timbalannya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad melibatkan dua mangsa yang dirawat di ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan lapan mangsa di ICU Hospital Taiping.
“Hari ini Timbalan Menteri akan melawat pelajar (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan jalan raya yang kini dirawat di ICU.
“Beliau akan melawat 10 pelajar dan setiap seorang akan menerima bantuan RM1,000,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Wanita 2025 ‘EmpowerHER: Engage, Energize, Elevate’ di KPWKM hari ini.
Sementara itu, ditanya sama ada KPWKM akan turut menawarkan perkhidmatan kaunseling kepada keluarga mangsa yang terlibat, Nancy memaklumkan bahawa pihaknya akan menyelaraskan perkara tersebut dalam masa terdekat.
Katanya, buat masa ini keluarga mangsa memerlukan masa untuk menguruskan hal-hal berkaitan selain masih bersedih dan memerlukan ruang untuk bertenang.
“Kita akan kenal pasti keluarga mangsa yang telah meninggal dunia, buat masa ini saya rasa keluarga juga perlukan ruang, kita akan lihat bagaimana keadaan berjalan kerana biasanya ia bukan hanya soal wang semata-mata, kita juga perlu beri mereka sokongan emosi.
“Kami di KPWKM mempunyai kumpulan sokongan termasuk profesional yang bersedia untuk membantu keluarga (mangsa). Ini bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui.
“Kita juga perlu beri ruang kerana ramai masih bersedih dan dalam tempoh berkabung (namun) kita akan terus beri perhatian dan bantu mereka sebaik mungkin,” ujarnya.
Semalam, media melaporkan seramai 15 pelajar UPSI maut dalam kejadian membabitkan sebuah bas persiaran dengan sebuah Perodua Alza kira-kira pukul 1.10 pagi di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berdekatan Tasik Banding, Gerik. – UTUSAN