‘Tonton semua filem P. Ramlee sampai masuk mimpi’ - Utusan Malaysia

‘Tonton semua filem P. Ramlee sampai masuk mimpi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INI bukan kali pertama pelakon, Tony Eusoff, diberi kepercayaan menggalas watak ikon kebudayaan, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee baik di panggung mahupun di layar. Selain filem Mencari Ramlee, Tony atau Anthony Joseph Hermas Rajiman, 48, pernah menjayakan karakter P. Ramlee menerusi filem biopik Saloma (2014) juga teater P Ramlee The Musical (2013).

Tony sendiri mengakui, masih ramai lagi pelakon yang memiliki kelakuan lebih mirip dengan Allahyarham P. Ramlee serta kemahiran bernyanyi lebih hebat berbandingnya. Adakalanya, dia berasa tidak layak. Namun setiap tawaran yang diterima seolah cuba membawa pelakon asal Sarawak itu menggali lebih dalam sisi seorang P.Ramlee.

“Selama ini saya hanya menikmati karyanya sahaja, tak sangka pula disamakan dengan beliau. Saya pun kadang tak faham mengapa saya menjadi pilihan, rasanya ramai lagi yang lebih pandai menggayakan dan menyanyikan lebih dekat dengan P Ramlee seperti Musly Ramlee.

“Saya pernah tanya pengarah Mencari Ramlee mengapa beri kepercayakan kepada saya. Katanya dia memang mahukan saya, mungkin sebab saya berkawan dengan dia begitu lama, jadi lebih seronok dapat menjayakan filem bersama-sama.

“Satu berkat juga orang pilih kita, apa yang pasti saya tidak jemu bawa karakter P.Ramlee,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bercerita tentang pengalamannya menjayakan karakter seorang seniman agung, Tony rupanya sudah menonton kesemua filem arahan P. Ramlee. Lebih menarik, gara-gara meluangkan masa yang banyak melakukan kajian dengan P.Ramlee, adakalanya Tony bermimpi seolah-olah berada di dalam salah satu filem beliau.

“Bagi menjiwai karakter P.Ramlee dalam filem biopik Saloma, saya lakukan kajian sendiri iaitu dengan menonton filem beliau setiap hari. Saya kena belajar cara bertutur serta gerak gerinya.

“Saya akan tonton satu hingga dua filem P Ramlee setiap malam sampai saya tertidur. Bangun esok sambung lagi tengok. Jadi saya pernah mimpi berada dalam salah sebuah filem yang tak ingat apa judulnya.

“Tapi kerana mimpi itu tidak jelas, kadang saya rasa sayalah P.Ramlee sebab saya kecewa juga dalam mimpi itu tak jumpa beliau. Mimpi saya pun warna hitam putih macam cerita lama.

“Mungkin sebab terlalu banyak tonton filem beliau. Saya sudah tengok semua filem termasuk Sitora Harimau Jadian yang dianggap filem paling teruk kerana bajetnya rendah. Jadi kualiti filem itu sangat berbeza dengan filem-filemnya sebelum itu. Ada juga filemnya yang saya tengok berulang kali,” cerita Tony.

Bukan cinta muda-mudi
Bercerita mengenai projek terkini lakonannya, Mencari Ramlee, Tony berpendapat naskhah tersebut sangat berbeza kerana menampilkan hubungan persahabatan dua orang dewasa iaitu Zakaria lakonannya dan Zaiton (Sofia Jane). Ia berbeza dengan kebanyakan filem yang lebih cederung menunjukkan sisi romantis yang wujud dari kaca mata dua orang anak muda.

“Sebelum ini kebanyakan hero dan heroin adalah anak muda yang bercinta. Ini mungkin satu-satunya filem yang meraikan hubungan persahabatan antara dua orang yang agak berusia.

“Kita kena teruskan kepelbagaian dalam cerita, seperti filem ini ia sebuah perubahan yang sihat. Semoga banyak lagi variasi termasuk dari segi genre yang akan dihasilkan selepas ini,” tambahnya.

Mencari Ramlee mengisahkan peniru gaya P. Ramlee, Zakaria yang sukar mendapat kerja sejak kematian seniman itu pada tahun 70-an. Filem tersebut akan menemui penonton bermula 19 Jun ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN