LOS ANGELES: Pelakon dan penerbit, Tom Cruise, akan menerima Anugerah Kehormat sempena Anugerah Akademi 2026 (Oscar) yang dijangka berlangsung pada Mac tahun hadapan.
Crusie menerima anugerah tersebut bersama koreografer, Debbie Allen dan pereka produksi, Wynn Thomas yang telah banyak memberikan sumbangan dalam perkembangan industri filem.
“Komitmen yang ditunjukkan Tom Cruise kepada dunia perfileman baik di pangung sehinggalah pengaruhnya dalam komuniti lagak ngeri sangat memberi inspirasi kepada kami.
“Beliau merupakan pelakon paling dikenali dan meraih kutipan tertinggi sepanjang zaman,” tulis Oscar dalam sebuah kenyataan.
Sepanjang bergelar pelakon, Tom hanya pernah tercalon empat kali tapi tidak pernah memenangi Oscar walaupun filem lakonanya mencipta fenomena global seperti Mission: Impossible dan Top Gun.
Dalam pada itu, Anugerah Akademi 2026 juga akan memperkenalkan kategori baharu iaitu Pencapaian dalam Pemilihan Pelakon (Achievement in Casting).
Penghargaan itu diwujudkan memberi pengiktirafan kepada pengarah atau individu yang bertanggungjawab terhadap pemilihan pelakon dalam industri perfileman. -UTUSAN