Tingkatkan bilangan prasekolah di seluruh negara

Tingkatkan bilangan prasekolah di seluruh negara

ANUAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu meningkatkan bilangan prasekolah di seluruh negara bagi memastikan pelaksanaan dasar mewajibkan pendidikan tersebut dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, pelaksanaan dasar tersebut perlu disokong dengan penyediaan prasarana, guru dan kurikulum yang bersesuaian serta langkah penyelarasan melibatkan prasekolah swasta dan kerajaan.

Katanya, kemudahan pendidikan awal kanak-kanak mencukupi merupakan faktor utama memastikan dasar itu berjaya terutama dalam membina asas kukuh kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) murid-murid.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berdasarkan laporan Bank Dunia 2023, sebanyak 85 peratus kanak-kanak telah menghadiri prasekolah sama ada di bawah kerajaan atau swasta. Jadi, jika dasar ini diwajibkan, peratusan itu dijangka boleh meningkat kepada 97 atau 98 peratus seperti yang berlaku apabila pendidikan rendah diwajibkan pada 1986.

“Bagaimanapun, bagi menjayakan pelaksanaannya, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak prasekolah di kawasan luar bandar dan menawarkan subsidi atau pendidikan percuma kepada keluarga miskin bandar agar anak-anak mereka juga dapat mengikuti pendidikan prasekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan kerajaan bercadang melaksanakan dasar mewajibkan pendidikan prasekolah sebagai satu usaha mengatasi isu keciciran murid lebih awal dan sebahagian daripada agenda reformasi pendidikan negara.

Anuar berkata, dasar itu perlu mengambil kira keperluan latihan guru, skim perkhidmatan khas untuk guru prasekolah serta kewujudan satu bahagian khusus di Kementerian Pendidikan yang menguruskan pendidikan awal kanak-kanak secara menyeluruh.

Katanya, kekurangan guru terlatih dan nisbah murid yang terlalu ramai dalam satu kelas boleh menjejaskan keberkesanan pelaksanaan dasar berkenaan.

“Prasekolah tidak boleh dikendalikan dengan bilangan murid seperti di sekolah rendah. Biasanya, satu kelas prasekolah hanya sesuai menampung sekitar 15 murid sahaja. Maka, guru-guru mesti dilantik, dilatih dan ditempatkan dengan kadar segera jika kita mahu mewajibkan prasekolah.

“Selain itu, peranan prasekolah swasta juga perlu diselaraskan dengan jelas. Mereka harus diiktiraf sebagai rakan strategik dan berdaftar di bawah KPM supaya penglibatan di prasekolah swasta tetap dianggap memenuhi kehendak dasar wajib prasekolah,” katanya.

Timbalan Pengerusi Tetap Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Nik Saiful Adli Burhan berkata, usia empat hingga lima tahun merupakan fasa penting dalam perkembangan kanak-kanak yang sangat sesuai untuk dimulakan pendidikan secara lebih sistematik.

“Dasar ini dilihat sebagai langkah penyamaan peluang pendidikan untuk semua kanak-kanak tanpa mengira latar belakang. GPMS mengambil kira realiti kehidupan ibu bapa masa kini yang semakin sibuk dengan tuntutan kerja dan komitmen harian. 

“Tidak seperti generasi dahulu, kebanyakan ibu bapa kini tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk mengajar anak-anak mereka di rumah. Maka, prasekolah bukan sekadar menjadi pusat pendidikan, malah menjadi tempat selamat dan sesuai untuk perkembangan awal kanak-kanak dari sudut akademik dan sosial,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini