Tindakan tegas calon tidak hadir program PLKN

Tindakan tegas calon tidak hadir program PLKN

Adly Zahari memakaikan pingat PJM kepada seorang veteran ATM berkerusi roda pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan tidak teragak-agak untuk menggunakan peruntukan Seksyen 18(1), Akta Latihan Khidmat Negara bagi memaksa calon terpilih untuk menghadiri program Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 kumpulan baharu yang akan mendaftar tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, tindakan tegas itu terpaksa diambil bagi memastikan pelaksanaan program PLKN berjalan lancar dan setiap calon mendaftar selepas mereka menerima surat rasmi.

Menurutnya, beliau tidak menafikan ada beberapa individu tidak hadir pada program PLKN 3.0 Siri 2 2025 yang bermula pada 11 Mei lalu tanpa sebarang alasan munasabah.

“Kehadiran pelatih yang terpilih adalah diwajibkan. Kegagalan untuk melapor diri tanpa alasan yang munasabah boleh menyebabkan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Kami sebenarnya tidak mahu menggunakan peruntukan Seksyen 18(1), Akta Latihan Khidmat Negara untuk memaksa mereka yang terpilih hadir. Yang penting mereka harus pergi dengan kesedaran tetapi kalau ada keperluan kita akan gunakan akta tersebut.

“Kami ada menerima alasan calon yang tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan, masalah tempat kerja dan menyambung pelajaran dan sebagainya,” ujarnya kepada pemberita pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 1,000 veteran ATM di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Terdahulu media melaporkan seramai 344 orang pelatih terdiri daripada 206 pelatih lelaki dan 138 pelatih wanita menghadiri Program PLKN 3.0 Siri 2 2025 dengan menjalani latihan di Kem Rejimen 505 (AW) Kem Force 136, Pekan, Pahang dan Kem Rejimen 515 (AW), Jalan Buku Lima, Kuala Lumpur dari 11 Mei sehingga 24 Jun ini.

Mengulas lanjut Adly berkata, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) sedang membuat justifikasi program PLKN 3.0 Siri 2 2025 yang akan dibentangkan kepada Kementerian Pertahanan tidak lama lagi.

Tambahnya, JLKN juga akan melihat keperluan menambah baik semua fasiliti dan aktiviti di PLKN bagi memastikan kehadiran peserta yang terpilih adalah seratus peratus kehadiran mereka.

“Kita tidak akan benarkan kalau tanpa sebab mereka tidak mendaftar di PLKN kerana program ini diwujudkan untuk membina jati diri dalam kalangan belia kita dan untuk kepentingan negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN