KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kecewa terhadap pihak yang mendakwa mewakili Jawatankuasa Bersama Khas (JBK) sehingga mencetuskan kekeliruan dan mencemarkan imej negara di peringkat antarabangsa.
Setiausaha Agungnya, Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, perkara itu dibangkitkan sewaktu pertemuan rasmi delegasi Cuepacs bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong di Zurich, Switzerland.
Katanya pertemuan dihadiri 16 ahli delegasi Cuepacs itu bertujuan membincangkan isu ketiadaan wakil pekerja Malaysia ke Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) anjuran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang sedang berlangsung ketika ini.
“Cuepacs memberikan penjelasan kepada menteri berhubung situasi sebenar dan menegaskan bahawa mandat JBK adalah semata-mata untuk mengadakan pemilihan semula kepimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebagaimana diarahkan oleh Mahkamah Rayuan.
“Motif kewujudan jawatankuasa itu bukannya untuk mewakili MTUC secara rasmi mahupun mengeluarkan kenyataan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Abdul Rahman berkata, Cuepacs mengecam tindakan pihak yang menggunakan nama MTUC tanpa sebarang mandat sah dan menggesa JBK menghentikan segala usaha yang boleh menggugat keharmonian hubungan antara kerajaan, majikan dan pekerja.
“Sebagai perwakilan terbesar dalam MTUC, kami memandang serius kegagalan JBK menjalankan proses pemilihan dalam tempoh ditetapkan sehingga menyebabkan tiada wakil rasmi pekerja hadir ke ILC buat kali pertama dalam sejarah.
“Kekeliruan ini bukan sahaja menjejaskan reputasi negara, malah turut memberi kesan langsung kepada keberadaan Cuepacs di ILC memandangkan semua urusan tiket dan penginapan telah diatur lebih awal.
“Pembatalan saat akhir tidak lagi dapat dilakukan dan segala kos ditanggung sendiri oleh kesatuan gabungan dan Cuepacs,” katanya.
Abdul Rahman mencadangkan agar kesatuan seperti Cuepacs diberikan ruang untuk mendaftar secara terus dengan ILO bagi mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang pada masa hadapan. – UTUSAN