PETALING JAYA: Tiga saintis muda mengharumkan nama Malaysia selepas mereka terpilih menyertai Mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-74 yang akan berlangsung di Jerman hujung bulan ini.
Kesemua mereka ialah calon PhD dari Universiti Teknologi Petronas, Ahli Kimia (ChM) Nur Diyan Mohd. Ridzuan, 30 ; pensyarah kanan di Universiti Sains Malaysia (USM), Teknologis Profesional (Ts) Dr. Ana Masara Ahmad Mokhtar, 34, dan pensyarah di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), ChM Dr. Mak Kit Kay, 33.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang menyifatkan menyifatkan penyertaan berkenaan sebagai satu peluang transformatif untuk para saintis muda Malaysia.
Jelas beliau, ia selaras dengan komitmen kementerian itu dalam membina generasi saintis masa depan.
“Interaksi dengan pemikir dan penerima Hadiah Nobel mampu memperluas pengetahuan penyelidik muda negara serta memberi inspirasi kepada belia untuk menyertai bidang sains, teknologi dan inovasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen pula menjelaskan bahawa ASM komited menghantar saintis muda setiap tahun sebagai sebahagian usaha melahirkan generasi penyelidik bertaraf dunia.
Beliau berkata, penyertaan itu memberi ruang untuk saintis muda memperkenalkan penyelidikan dan kepakaran masing-masing yang boleh membuka peluang kerjasama di fasiliti penyelidikan antarabangsa.
“Ramai saintis ternama dunia pernah menghadiri mesyuarat ini pada peringkat awal kerjaya mereka termasuk mereka dalam Jaringan Pakar ASM,” katanya.
Mesyuarat berprestij tersebut dijadualkan dari 29 Jun ini hingga 4 Julai 2025 dan akan memfokuskan kepada bidang kimia, menghimpunkan seramai 35 orang penerima Hadiah Nobel serta lebih 600 saintis muda dari 84 buah negara.
Mesyuarat Nobel Laureate Lindau yang diasaskan sejak tahun 1951 berperanan sebagai platform dialog antara generasi, merentas disiplin sains dan budaya, serta memberi ruang interaksi secara dekat antara saintis muda dan penerima Nobel.-UTUSAN