Tiga pemandu Bas.My digantung tugas, mungkin dibuang kerja

Tiga pemandu Bas.My digantung tugas, mungkin dibuang kerja

HAMEED Mytheen Kunju Basheer (enam dari kanan) pada Majlis Penyerahan Mylesen (B2) Peringkat Negeri di Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tiga pemandu bas henti henti, Bas.My atau lebih dikenali sebagai bas merah jambu (pink) di negeri ini digantung tugas selepas didapati melakukan kesalahan trafik yang membahayakan penumpang dan pengguna jalan raya lain.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, tindakan itu diambil sebagai langkah awal sementara siasatan dan semakan latar belakang dijalankan terhadap pemandu terlibat.

Katanya, penilaian semula perlu dilakukan terhadap latar belakang semua pemandu, termasuk kemungkinan kesalahan lampau yang tidak didedahkan sebelum ini. 

“Kita tidak mahu ambil mudah soal keselamatan pengguna dan kalau ada rekod kesalahan jenayah atau trafik yang serius, tindakan tegas termasuk buang kerja akan diambil. 

“Tiga pemandu terbabit digantung tugas selepas masing-masing terlibat dengan kesalahan melakukan pusingan-U secara berbahaya dan satu kes membabitkan kemalangan maut di Alor Gajah baru-baru ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Mylesen (B2) Peringkat Negeri di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Sebelum ini, lima pemandu Bas.My disaman kerana menggunakan telefon bimbit ketika memandu dalam ‘Op Pinky’ dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Operasi memfokuskan bas pink itu dilaksanakan susulan beberapa aduan dan insiden kemalangan melibatkannya sejak kebelakangan ini.

Hameed Mytheen berkata, walaupun tiada saman dikeluarkan kerana ketiadaan pihak berkuasa semasa kejadian, tindakan dalaman telah diambil atas dasar tanggungjawab syarikat serta maklum balas awam.

“Tempoh penggantungan tidak ditetapkan, kita mahu pastikan semua aspek disemak termasuk rekod trafik dan jenayah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN