Tiga kapal perang negara dilucut tauliah - Utusan Malaysia

Tiga kapal perang negara dilucut tauliah

ANGGOTA TLDM melakukan ketukan loceng di atas KD Laksamana Tun Abdul Jamil, menandakan tauliah kapal itu dalam TLDM dilucutkan di Pangkalan TLDM Lumut. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Tiga kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berbakti kepada negara selama beberapa dekad, dilucutkan tauliah secara rasmi dalam suasana hiba dan istiadat ketenteraan di Tambatan Pangkalan Lumut, Pangkalan TLDM Lumut, hari ini.

Tiga kapal tersebut ialah Kapal Diraja (KD) Laksamana Tun Abdul Jamil, KD Laksamana Tan Pusmah dan KD Pendekar.

Ketiga-tiga kapal itu berada dalam pemilikan TLDM antara 26 hingga 46 tahun, serta belayar lebih 1.6 juta batu nautika sepanjang perkhidmatannya.

Majlis pelucutan penuh tradisi tentera laut itu disempurnakan oleh Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain.

Hanya KD Laksamana Tun Abdul Jamil yang berada di Tambatan Pangkalan Lumut, manakala KD Pendekar berada di KD Sultan Ismail, Pangkalan TLDM Tanjung Pengelih, Johor, sementara KD Laksamana Tan Pusmah berada dalam limbungan dekat sini.

Bagaimanapun, ketiga-tiga pegawai memerintah tiga kapal tersebut bersama kru kapal masing-masing hadir pada majlis di sini.

Begitu juga bekas pegawai memerintah serta beberapa bekas kru tiga kapal tersebut, turut hadir pada istiadat itu.

Kemuncak acara adalah ketukan loceng dan penurunan gada-gada bagi ketiga-tiga kapal sebagai simbolik penamatan tauliah dan status aktif kapal-kapal tersebut yang telah banyak berjasa dalam menjaga kedaulatan perairan maritim negara.

Suasana hiba turut dirasai apabila Pegawai Memerintah KD Laksamana Tun Abdul Jamil, Leftenan Komander Mohamad Fauzi Jamal, tidak mampu menyembunyikan kesedihannya sebaik kapal tersebut dilucutkan tauliahnya.

Dalam ucapannya, Zulhelmy berkata, ketiga-tiga kapal tersebut telah menjadi sebahagian daripada tulang belakang operasi maritim negara selama beberapa dekad.

Pada masa sama, katanya, kapal-kapal berkenaan turut terlibat dengan pelbagai operasi penting dan latihan seperti Ops Kekal Warisan, Ops Pejarak, Eksesais Kerismas, Rondaan ZEE, Seaex Thamal, Ops Patkor Malindo dan pelbagai lagi.

Beliau menegaskan, pelucutan tauliah itu bukanlah ‘the end of the story’, tetapi merupakan baharu dalam membina semula kekuatan armada.

“Penamatan perkhidmatan aset-aset lama perlu diiringi dengan pelan penggantian yang teliti berlandaskan analisis jurang keupayaan, keberkesanan logistik dan pelaburan strategik berimpak tinggi,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan tersebut dapat memastikan TLDM terus kekal relevan, berkemampuan dan dihormati di rantau ini.

Katanya, buat masa ini, rancangan perolehan aset baharu seperti Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan Kapal Misi Laut Dalam Kumpulan Kedua 2 (LMSB2) bakal menjadi pengganti kepada aset-aset yang telah dilucutkan tauliah itu.

“Namun, saya akui proses penerimaan aset ini mengambil sedikit masa dan semestinya terdapat implikasi kepada operasi sedia ada.

“Walau bagaimanapun, saya percaya berbekalkan semangat tinggi, disiplin serta iltizam yang tidak berbelah bahagi warga the ‘Navy People’, cabaran ini akan dapat ditangani dengan cekap dan berkesan demi memastikan kesinambungan kesiagaan operasi pasukan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN