KUALA LUMPUR: Sebanyak tiga ekor unta dan seekor lembu dikorbankan sempena Program Ibadah Korban anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Bandar Tun Razak dengan kerjasama Pas dan pengurusan Surau Tarbiah, di sini hari ini.
Program julung kali itu membawa kelainan apabila haiwan korban iaitu unta dibawa khas dari Madinah sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa program ibadah korban di kawasan bandar.
Setiausaha Bersatu Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Razalif Mohd. Zain berkata, penganjuran kali ini merupakan usaha bersama pelbagai pihak termasuk pengerusi persatuan penduduk dan ahli jawatankuasa surau bagi memastikan penyertaan penduduk setempat.
“Selalunya orang lihat lembu dan kambing. Kali ini, kita bekalkan unta sebagai haiwan korban untuk bawa sedikit kelainan di kawasan ini.
“Tahun lalu, kita berjaya agihkan 100 ekor lembu melalui yayasan. Kali ini kita fokus di Bandar Tun Razak sahaja, namun insya-Allah tahun depan kita akan kembangkan lagi,” katanya kepada pemberita selepas upacara korban di Surau Tarbiah Seri Sabah, di sini.
Menurut Razalif, kos keseluruhan penganjuran mencecah kira-kira RM150,000 melibatkan pengagihan daging kepada lebih 1,000 penduduk yang layak.
“Kita gunakan data sedia ada yang melibatkan golongan asnaf, B40 dan B20. Agihan dibuat mengikut pangkalan data yang dikemas kini oleh persatuan penduduk dan Surau Tarbiah,” ujarnya.
Tambah beliau, program itu bukan sahaja melibatkan Perikatan Nasional (PN), malah turut disertai masyarakat Islam tanpa mengira latar belakang politik dalam semangat gotong-royong dan kebersamaan.
Dalam pada itu, Razalif turut memaklumkan, unta yang dikorbankan pada tahun ini merupakan sumbangan yang diimport khas dari Madinah dan beliau menyasarkan perluasan program tersebut ke kawasan-kawasan lain di bawah PN pada tahun hadapan.
Program turut mendapat kerjasama agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi tujuan kawalan logistik dan keselamatan sepanjang acara. – UTUSAN