BERMULA sekadar mengisi masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), siapa sangka dapur rumah akhirnya menjadi pentas utama yang melonjakkan nama Noor Fatiha Mazlan sebagai pencipta kandungan masakan tradisional.
Tanpa perancangan rapi atau skrip yang rumit, Noor Fatiha, 29, hanya melakukan apa yang paling dia gemari iaitu memasak masakan kampung kegemaran keluarga.
Daripada rutin harian itulah, tercetus kandungan yang kini menjadi identitinya dalam media sosial.

Keistimewaan kandungan Noor Fatiha bukan terletak pada resipi semata-mata, tetapi pada cara penyampaian yang sarat dengan elemen nostalgia.
Dari dapur beralaskan kain batik, hidangan lauk-pauk kampung yang sederhana, hinggalah ke momen menikmati makanan secara bersila di atas tikar, setiap video seolah-olah membawa penonton ‘pulang’ ke rumah nenek di kampung.
“Pada saya, makan di lantai bukan sekadar gaya. Ia simbol kebersamaan yang semakin jarang diamalkan dalam kehidupan moden,” katanya
Walaupun bekerja sepenuh masa, kesibukan bukan alasan buat Noor Fatiha untuk berhenti berkongsi minatnya. Setiap petang selepas pulang kerja, dapur rumah kembali berasap untuk menyediakan makan malam keluarga dan pada masa yang sama, dirakam sebagai kandungan untuk TikTok.
ANGKAT RESEPI LAMA
Menurut Noor Fatiha, antara kandungan yang paling mencuri perhatian netizen ialah kuih koci labu. Katanya, kuih tersebut semakin jarang dikenali, apatah lagi disediakan, kerana prosesnya yang rumit dan memakan masa.
Keberaniannya mengetengahkan resipi yang hampir dilupakan itu menjadikan kandungannya unik, sekali gus dihargai penonton yang rindukan cita rasa lama.

Tidak ketinggalan, sambal belacan versi Noor Fatiha turut menjadi perbualan. Tanpa penggunaan gula dan bawang putih, sambalnya hanya menggunakan belacan, asam keping, asam jawa dan cili padi kampung sekali gus mengekalkan rasa asli turun-temurun.
Noor Fatiha juga memilih teknik menumbuk berbanding mengisar kerana percaya cara tradisional itu memberikan aroma lebih kuat dan rasa sambal kampung yang sukar ditiru mesin moden.
Sambal udang petai turut menjadi antara menu yang menerima sambutan luar jangka. Dengan penggunaan petai yang banyak dan hidangan bersaiz besar untuk lapan hingga sembilan orang, menu tersebut benar-benar mencerminkan konsep masakan kampung sebenar.
“Masakan kampung memang saiz hidangannya banyak untuk dikongsi dan dinikmati bersama,” jelasnya.
RESIPI DARIPADA OPAH
Walaupun ada menerima kecaman segelintir netizen yang tidak bersetuju dengan resipi dikongsikan, Noor Fatiha memilih untuk tidak melayan. Baginya, setiap keluarga mempunyai cara dan rasa tersendiri dalam masakan.
Lebih istimewa, kebanyakan idea kandungannya datang daripada nenek tersayang. Resipi-resipi lama yang diwarisi menjadi khazanah berharga yang kini dihidupkan semula melalui platform digital.
Di situlah terletaknya misi tidak rasmi Noor Fatiha bagi memastikan masakan tradisional Melayu tidak luput ditelan zaman, khususnya dalam kalangan generasi muda yang semakin cenderung kepada makanan moden dan kafe hipster.
BUKA KEDAI MAKAN
Dalam jangka panjang, Noor Fatiha menyimpan hasrat untuk membuka sebuah kedai makan kecil yang menyajikan masakan tradisional Selangor. Bukan untuk mengejar kemewahan, tetapi memberi peluang kepada para pengikutnya merasai sendiri air tangan yang selama ini hanya ditonton di skrin.
Baginya, masakan Melayu bukan sekadar makanan. Ia adalah identiti, warisan dan satu bentuk kasih sayang yang mengikat keluarga serta masyarakat.
Melalui dapur kecil dan kamera telefon, Noor Fatiha membuktikan warisan lama masih relevan asalkan ada yang sudi meneruskannya.











