MELAKA: Walaupun tidak mampu berdiri apatah lagi berjalan sepanjang usianya, ia tidak menghalang seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024.
Muhammad Aidil Farhan Muhammad Kamal, 19, pelajar Kolej Tingkatan Enam Tun Fatimah memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.58 walaupun berdepan halangan akibat masalah saraf motor neuron yang dihidapi sejak lahir.
“Saya amat gembira dan bersyukur dengan keputusan ini kerana orang selalu cakap STPM sangat mencabar, jadi saya sahut cabaran itu, Saya belajar seperti biasa, buat kumpulan belajar dengan rakan-rakan, dan dibantu guru-guru yang sangat prihatin.
“Rakan sekelas banyak membantu saya, mereka tolong tolak kerusi roda ke tandas, ke kantin dan sanggup tunggu saya tanpa mengeluh, saya amat terhutang budi dengan mereka,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong di rumahnya di Kampung Padang Temu, di sini hari ini.
Muhammad Aidil yang sebelum ini mendapat 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kini meletakkan impian besar untuk bergelar pensyarah dalam bidang perakaunan suatu hari nanti.
“Saya harap dapat menyambung pengajian dalam bidang perakaunan di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atau Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Sekarang saya sedang tunggu keputusan permohonan universiti dan buat kelas tuisyen untuk saudara-mara yang bakal ambil SPM,” ujarnya.
Sementara itu, ibunya, Zanariah Noor Mohd., 51, berkata, sejak anaknya berusia empat tahun hingga ke tingkatan enam, dia tidak pernah jemu memberikan sokongan kepada anaknya itu termasuk menghantar dan menunggu Muhammad Aidil di sekolah setiap hari.-UTUSAN