Tidak daftar VEP: Kenderaan Singapura Perlu bayar saman

Tidak daftar VEP: Kenderaan Singapura Perlu bayar saman sebelum keluar

ANTHONY Loke ketika sidang akhbar di MOT, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menguatkuasakan Permit Masuk Kenderaan (VEP) secara sepenuhnya bermula 1 Julai ini di pintu sempadan darat Malaysia – Singapura.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pemilik kenderaan asing persendirian yang didapati tidak mendaftar atau mengaktifkan VEP akan dikenakan notis saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kalau mereka (kenderaan persendirian) tiada VEP yang sah dan mereka memasuki Malaysia, mereka akan dikenakan saman iaitu RM300 dan saman itu perlu dibayar sebelum mereka meninggalkan Malaysia.

“Mengapa kita laksanakan 1 Julai ini? Ini kerana masa yang telah diberikan agak panjang seperti yang kita katakan, kita bermula dengan ‘soft approach’ advokasi pada 1 Oktober 2024,” katanya menerusi sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini hari ini.

Mengenai kaedah penguatkuasaan, Loke berkata, kenderaan persendirian individu yang didapati tiada VEP yang sah akan dikenakan tindakan saman dan mereka wajib membayar saman tersebut serta mendaftar VEP sebelum meninggalkan Malaysia, manakala bagi kenderaan pra daftar VEP, mereka akan dikenakan tindakan saman dan wajib membayarnya sebelum keluar.

Sementara itu, katanya, bagi kenderaan persendirian syarikat pula, tindakan saman akan dikenakan dan ia wajib dibayar serta perlu mendaftar VEP, namun bagi pra daftar VEP, kenderaan berkenaan hanya akan dikenakan notis peringatan dan dibenarkan keluar dari Malaysia.

“Untuk kategori kenderaan persendirian syarikat, kita masih beri sedikit kelonggaran sebab kategori ini melibatkan banyak proses, mereka perlu kemukakan banyak dokumen syarikat dan sebagainya yang kebanyakan mereka gagal dari pendaftaran ketika ini.

“Jadi kita berikan sedikit masa lagi untuk mereka menyelesaikan segala dokumen dan juga syarat-syarat yang diperlukan,” ujarnya.

Menurutnya, pelaksanaan penguatkuasaan VEP adalah selaras dengan Seksyen 66H (7) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) di mana adalah menjadi kesalahan jika mana-mana orang yang memandu kenderaan asing tanpa permit sebelum memasuki atau berada di dalam negara.

“Pemilik kenderaan asing yang dikenakan tindakan saman atas sebab tiada VEP sah perlu menyelesaikan saman tersebut sebelum keluar dari Malaysia.

“Bayaran saman perlu dibuat melalui kaedah tanpa tunai di kaunter pejabat JPJ, kaunter bergerak JPJ mobile atau secara online (MyEG),” katanya.

Anthony Loke menjelaskan, berdasarkan penguatkuasaan fasa pertama yang dijalankan, sebanyak 52,012 kenderaan Singapura telah diperiksa secara rawak dengan 2,245 (4.32 peratus) notis peringatan dikeluarkan kepada pemilik kenderaan yang belum mendaftar VEP.

Jelasnya, sehingga kelmarin, statistik pemasangan tag RFID melibatkan kenderaan persendirian individu secara keseluruhan berjumlah 231,018 dengan 194,507 telah diaktifkan manakala 36,511 tag RFID masih belum diaktifkan oleh pemilik kenderaan.

“Manakala bagi kenderaan persendirian syarikat, sejumlah 2,660 tag RFID telah diaktifkan,” katanya.

Justeru, beliau menyeru kepada semua pemilik kenderaan asing untuk segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika proses masuk dan keluar dari Malaysia pada masa akan datang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN