KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bercadang untuk melakukan sebarang rombakan Kabinet buat masa ini susulan peletakan jawatan dua menterinya iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Anwar berkata, walaupun kedua-dua Menteri iaitu Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu sudah menghantar surat peletakan jawatan dan bercuti namun beliau hanya meluluskan permohonan cuti mereka sahaja.
Katanya, dalam Mesyuarat Jemaah Menteri akan datang, beliau akan meminta menteri lain untuk mengambil alih sementara jawatan di kedua-dua kementerian berkenaan.
“Tiada keperluan untuk rombakan Kabinet. Dua Menteri telah meletakkan jawatannya (tetapi) kami memberikan masa untuk mereka fikir apa yang mahu dilakukan. Saya hanya meluluskan cuti mereka sahaja,” katanya kepada pemberita hari ini.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak akan mengambil sebarang tindakan bagi menggantikan kedua-dua Menteri tersebut memandangkan kerajaan masih berfungsi seperti biasa.
“Kerajaan masih lagi berfungsi seperti biasa dan dalam Mesyuarat Kabinet akan datang, saya akan meminta Menteri untuk ambil alih sementara kementerian berkenaan.
“Pada masa sama Ketua Setiausaha (kementerian) dan Ketua Pengarah sudah diminta untuk meneruskan tugas masing-masing kerana kita sedang dalam proses rundingan di kalangan ASEAN-GCC (Majlis Kerjasama Teluk)-China dan AS (Amerika Syarikat) mengenai tarif dikenakan (Presiden AS) Donald Trump,” katanya.
Pada 28 Mei lalu, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan mereka dalam sebagai Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dipercayai susulan kekalahan mereka dalam pemilihan parti PKR minggu lalu.
Dalam pemilihan PKR, Rafizi gagal mempertahankan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden apabila tewas kepada Nurul Izzah Anwar dalam pertembungan dua penjuru manakala Nik Nazmi juga tewas dalam jawatan Naib Presiden.-UTUSAN