MELAKA : Hasrat seorang suri rumah untuk keluar sarapan bertukar cemas apabila kereta dipandunya tersalah masuk gear dan melanggar bahagian belakang sebuah bangunan kosong di Taman Melaka Raya di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Sinn, Semabok menuju ke kawasan tersebut.
“Mangsa, berusia 69 tahun, memandu kereta jenis Volvo XC60 warna hitam dan ketika cuba mengundur di lorong belakang premis di Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya, dia dipercayai tersilap masuk gear D menyebabkan kenderaan itu bergerak ke hadapan dan melanggar dinding belakang bangunan.
“Nasib baik bangunan yang dilanggar itu merupakan sebuah kedai kosong dan tiada sebarang kecederaan dialami oleh mangsa,” katanya kepada pemberita hari hari ini.
Menurut beliau, kenderaan mangsa mengalami kemek di bahagian hadapan serta kerosakan lain yang masih dalam siasatan.
“Mangsa turut hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bagi tujuan dokumentasi insurans.
“Kes diklasifikasikan sebagai kemalangan kendiri dan disiasat di bawah laporan kerosakan harta benda,” katanya. –UTUSAN