PARIT BUNTAR: Seorang nelayan tempatan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot yang terbakar dalam kejadian di perairan Kerian, kira-kira lapan batu nautika dari Jeti Nelayan Tanjung Piandang di sini hari ini.
Kejadian berlaku ketika mangsa, Cheah Chai Pua, 33, menaiki bot bersama dua awak-awak.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 3 pagi dan menggerakkan aset ke lokasi
“Dua daripada tiga mangsa berjaya diselamatkan oleh nelayan tempatan yang berada berhampiran lokasi kejadian.
“Namun tekong bot, iaitu mangsa yang juga warga tempatan dipercayai terjatuh ke laut dan masih belum dijumpai sehingga kini,” katanya ketika ditemui di Pusat Operasi Carilamat di sini hari ini.
Menurutnya, operasi pencarian yang digerakkan sejak pukul 4 pagi tadi kini telah memasuki hampir 12 jam.
Beliau berkata, operasi membabitkan aset milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bot Perkasa selain bantuan Polis Marin dan 10 bot nelayan tempatan.
Katanya, pencarian difokuskan dalam radius lima batu nautika dari lokasi mangsa dipercayai jatuh.
“Angin kencang dan ombak tinggi menyukarkan pencarian di permukaan air. Operasi pencarian akan diteruskan sehingga menerima arahan lanjut daripada Pusat Penyelarasan Menyelamat Maritim (MRSC) di Langkawi.
“Sekiranya mangsa masih gagal ditemui hari ini, operasi akan disambung esok pagi,” katanya. – UTUSAN