Tak sempat berbakti kepada ibu tampung belanja ibadah korban

Tak sempat berbakti kepada ibu tampung belanja ibadah korban

NASRAH Ahmad menunjukkan gambar anaknya, Muhammad Irwan Syah Yahaya yang meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Parit Panjang, Kampung Padang Tembak di Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Niat seorang anak mahu menyumbang wang untuk ibunya mengadakan korban pada Hari Raya Aidiladha tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Jalan Parit Panjang, Kampung Padang Tembak.

Nasrah Ahmad, 65, berkata, arwah anaknya, Muhammad Irwan Syah Yahaya, 25, menyatakan perkara itu baru-baru ini untuk bersama adik beradiknya menyumbang bagi tujuan itu.

“Sebelum kejadian ini, Irwan ada beritahu dia juga hendak menyumbang sedikit wang seperti adik beradiknya yang lain kepada saya untuk melakukan ibadah korban, tetapi niatnya itu tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia dalam kemalangan ini,” katanya ketika ditemui.

Dalam nahas 6.50 pagi ini, dua individu masing-masing pemandu Proton Wira, Muhaini Hasan, 43, maut di tempat kejadian akibat cedera parah dan tersepit sementara Muhammad Irwan Syah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital. Rakan kepada Muhammad Irwan Syah pula cedera parah dan kini dirawat di Hospital Baling.

Nasrah berkata, anak ke-11 daripada 12 beradik yang bekerja di bengkel membaiki motosikal itu juga tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara kerana jarang berada di rumah.

“Lebih banyak masanya di tempat kerja dan kali terakhir melihatnya petang semalam ketika dia sibuk membaiki motosikal di rumah. Dia bekerja di Kampung Batu Besar, Sik, mungkin mereka dalam perjalanan balik ke rumah ketika kejadian,” katanya.

Sementara itu, suami kepada seorang lagi mangsa, Mohd. Ali Ahmad, 49, berkata, ketika kejadian Muhaini Hasan dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Sungai Tembak ke tempat kerjanya di sebuah pasar raya di Batu 42, Baling.

“Selepas solat subuh pagi tadi dia keluar menaiki kereta untuk ke tempat kerjanya dan sempat berjumpa dengan anak sulung kami, Mohamad Amran yang juga ingin ke tempat kerjanya di Kulim, selepas anak keluar baru isteri pula.

“Tiada perubahan padanya, cuma ketika saya balik dari tempat kerja pada pukul 1 pagi tadi, Muhaini mengadu sakit kaki dan lemah-lemah di beberapa anggota badannya, saya sempat urutnya sebelum tidur,” katanya.

Tambahnya, dia amat sedih dengan kejadian menimpa isterinya, tambahan pula Hari Raya Aidiladha akan menjelang hujung minggu ini selain memikirkan tiga lagi anaknya yang masih memerlukan kasih sayang seorang ibu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN