Tak salah isteri sokong hobi suami - Amyra Rosli - Utusan Malaysia

Tak salah isteri sokong hobi suami – Amyra Rosli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelakon popular, Amyra Rosli, percaya bahawa salah satu kunci untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga ialah dengan saling memberi sokongan kepada pasangan. Ini juga termasuk dalam bab minat dan hobi. 

Sebagaimana dia menyokong minat suaminya, Amar Baharin dalam sukan berbasikal, bagi Amyra,  ia bukanlah sesuatu yang membebankan. 

Sebaliknya salah satu bentuk penghargaan terhadap kepercayaan dan tanggungjawab yang dikongsi dalam perkahwinan mereka.

Amyra percaya bahawa selagi suami memainkan peranannya sebagai ketua keluarga dengan baik, tidak culas terhadap nafkah dan kekal setia, maka ruang untuk menjalani hobi dan minat peribadi wajar diberikan. 

“Bagi saya mudah, apa pun yang dilakukan, sama ada hobi, mengejar cita-cita, asalkan suami itu menjaga keluarga, setia, dia tahu apa yang dilakukan di luar sana, maka teruskan apa yang disukai itu. 

“Sebab kita sebagai isteri pun ada kehidupan kita. Macam saya, ada kehidupan saya. Harus kita sedar bahawa kita berkahwin ini bukan nak menggongkong antara satu sama lain,”katanya. 

Kongsi Amyra, perkahwinan mereka berjalan dengan baik kerana komunikasi yang telus menjadi tunjang utama setiap keputusan. 

Katanya, Amar tidak sesekali membuat keputusan tergesa-gesa, sebaliknya akan merancang terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang aktiviti luar rumah, termasuklah penglibatannya dalam sukan berbasikal yang adakalanya mengambil masa yang panjang. 

“Kebiasaannya kami akan bincang sehabis baik sebab Amar nak pergi ke mana-mana pun, contohnya macam misi berbasikal ke Tanah Suci baru-baru ini, dia bukan bincang sebulan dua dengan saya.

“Setahun juga dia bincang dan susun atur segala perancangan.  Jadi dia dah cakap siap-siap, mengenai kewangan dan sebagainya, dia dah uruskan untuk saya dan anak-anak,”katanya. 

Walaupun mungkin ada sesetengah isteri akan berasa tidak selesa apabila suami kerap keluar rumah untuk aktiviti peribadi, Amyra punya pandangan yang berbeza mengenai soal ini.  

Bagi dirinya, selagi urusan rumah tangga terjaga dan suami bertanggungjawab sepenuhnya, tidak timbul isu untuk mengekang kebebasan pasangan.

Namun, Amyra tidak menafikan bahawa ada juga lelaki yang mengambil kesempatan atas kepercayaan isteri. 

“Sebab ada juga suami yang mengambil kesempatan di atas keizinan isteri. Itu antara yang mungkin terjadi kepada mana-mana wanita lain. 

“Contohnya, si suami culas dalam memberi nafkah ketika mereka meninggalkan rumah. Tapi saya syukur kerana perkara itu tak jadi kepada saya dan anak-anak, Alhamdulillah,”ujarnya. 

Bagaimanapun, Amyra menasihatkan golongan wanita dan para isteri supaya tidak hanya memendam perasaan dengan tidak mencuba meluahkan pandangan kepada suami terutama dalam mencapai kata sepakat. 

“Saya fikir, hal ini kena sama-sama bincang. Kalau suami kata nak pergi keluar jauh sama ada kerana kerja atau nak lakukan aktiviti hobi, awak tak suka, awak jangan berdiam. 

“Sebagai isteri kena sentiasa luahkan apa pandangan kita. Bergaduh ke tak bergaduh, itu belakang kira. Yang penting sama-sama tahu apa yang perlu dan tak perlu. 

“Pokok pangkalnya telus, beritahu suami awak nak apa? Apa pula bahagian awak jika suami nak keluar lama? Kena tanya dan saling jujur,”katanya.

Pada masa yang sama, akui Amyra, dia juga mengakui tidak kisah untuk menjejak lokasi suaminya semasa di luar.

Ia bukan kerana cemburu, tetapi atas dasar keselamatan.

“Orang mungkin fikir kita ini macam tak percaya suami sendiri. Tapi sebenarnya, kita nak tahu keselamatan dia. Apa-apa jadi, kita tahu dia di mana,” katanya.

Dalam pada itu, Amyra turut meluahkan rasa syukur kerana Amar telah berjaya menamatkan misi ke Tanah Suci hujung bulan lalu. 

Bagaimanapun, kata pelakon drama Bunga Salju dan Sekam Di Dada ini, seandainya ada pihak yang mempertikai tindakan Amar untuk ke Tanah Suci dengan cara berbasikal, dia tidak mampu menutup mulut semua orang. 

“Saya tak nafikan ada juga terbaca orang komen-komen begitu. Tetapi kita sebagai manusia ini, siapa kita hendak buat kerja Allah. Kalau Allah dah pilih dia untuk ke Tanah Suci dengan cara itu, siapa saya hendak menghalang dan kata tak boleh? 

“Sebab saya tahu itu minat dia juga. Lelaki pula bukan, saya tahu dia ada keinginannya sendiri. Macam Amar, dia dah lama berkayuh, di Malaysia pun dia sudah pusing berbasikal.

“Saya tahu mungkin dia dah bosan. Jadi dia nak cuba keseronokkan hobinya itu di luar negara pula. Tentulah saya izinkan sebab saya tahu apa yang dia hendak buat ini perkara yang baik. 

“Betul dia boleh pergi dengan cara naik kapal terbang sahaja, tetapi macam saya katakan tadi, itu yang Allah telah tetapkan untuk dia,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN