Tabung Haji terima anugerah Labbaittom

Tabung Haji terima anugerah Labbaittom

MOHD. NA’IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji ) menerima pengiktirafan tertinggi Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sebagai penerima Anugerah Labbaittom bagi kategori Diamond.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Tabung Haji telah dianugerahkan Anugerah Labbaittom untuk tahun keempat berturut-turut.

Katanya, tahun ini Tabung Haji menerima anugerah tertinggi bagi pengurusan haji yang terbaik.

“Bersempena tamatnya operasi haji bagi tahun ini, kerajaan Arab Saudi memberikan anugerah dan penghargaan kepada individu serta negara yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang kepada jemaah haji.

“Alhamdulillah pada malam ini (Ahad) sekali lagi, Tabung Haji telah dianugerahkan Anugerah Labbaittom untuk tahun keempat berturut-turut.

“Lebih menarik lagi, kita telah menerima penghargaan tertinggi ataupun apa yang disebut sebagai Diamond Award’, katanya selepas menerima anugerah berkenaan daripada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah dalam Program Majlis Penutupan Musim Haji 1446H/2025M kelmarin.

Beliau berkata, proses penilaian ketat dan semua aspek dinilai termasuk pengurusan, kebajikan dan keselamatan jemaah haji.

“Saya dimaklumkan peratusan dinilai oleh Tabung Haji tidak jauh dengan yang dinilai oleh pasukan Labbaittom daripada Kementerian Haji dan Umrah iaitu lebih daripada 95 ke 96 peratus,” katanya.

Dalam pada itu Mohd Na’im berkata, pihak pengurusan Tabung Haji berjanji memberikan komitmen untuk memberi dan meneruskan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji pada tahun akan datang menerusi kerjasama dengan syarikat Al Mashariq Al Masiah.

“Usaha tambah baik itu memang berterusan. Dengan adanya anugerah yang diterima pada malam ini (Ahad) ia memberi semangat yang lebih kepada pengurusan Tabung Haji.

“Insya-Allah pasukan Tabung Haji tidak akan menunggu lama, kami akan buat ‘post-mortem’ untuk mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang ada dan akan bekerjasama dengan pihak Al Masiah untuk tambah baik perkhidmatan pada tahun depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN